OLE Gunnar Solskjaer
OLE Gunnar Solskjaer
AFP

OLE Gunnar Solskjaer menggesa skuad muda Manchester United supaya lebih berani selepas berjaya melepasi saingan Piala Liga berdepan pasukan divisyen ketiga Rochdale awal pagi tadi.

Solskjaer berdepan gesaan di media sosial supaya beliau dipecat selepas United memerlukan kemenangan penentuan penalti 5-3 untuk menewaskan Rochdale selepas terikat 1-1 di Old Trafford.

Susulan kekalahan kepada West Ham dalam aksi Liga Perdana Inggeris Ahad lalu, United sekali lagi berdepan masalah apabila pemain Rochdale yang baru berusia 16 tahun, Luke Matheson membatalkan jaringan pembukaan Mason Greenwood.

Penjaga gol United Sergio Romero menyelamatkan keadaan dengan menafikan percubaan Jimmy Keohane pada penentuan penalti, memastikan mereka mara ke peringkat 16 terakhir bertemu Chelsea.

Ia sesuatu yang amat mengecewakan buat anak buah Solskjaer dan menjadi peringatan supaya memanfaatkan sepenuhnya peluang yang dimiliki selepas hanya berjaya menjaringkan satu gol daripada 31 percubaan.

“Kami mendahului 1-0 dalam banyak perlawanan. Hari ini kami mendahului lagi 1-0 dan anda fikir ‘teruskan, dapatkan yang kedua’ dan itulah kuncinya sekarang dan ia keluk pembelajaran bagi pemain ini juga,” kata Solskjaer yang pasukannya kini di tangga kelapan di Liga Perdana.

“Kami perlu dapatkan gol kedua. Di kelab ini anda tidak boleh sekadar berdiam dan berharap ia cukup baik. Jika anda berpuas hati dengan apa yang ada, itu bukan apa yang kita mahu.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 8:49 AM