FERNANDES (kiri) meraikan jaringannya ketika bertemu Watford, Sabtu lalu. FOTO AFP
FERNANDES (kiri) meraikan jaringannya ketika bertemu Watford, Sabtu lalu. FOTO AFP
Reuters

PEMAIN tengah, Bruno Fernandes mampu membantu bahagian serangan Manchester United seperti Paul Scholes dan Juan Sebastian Veron ketika era mereka di Old Trafford, kata pengurus, Ole Gunnar Solskjaer.

Fernandes yang menyertai United bulan lalu, menyempurnakan sepakan penalti ketika kelabnya mencatat kemenangan 3-0 ke atas Watford pada saingan Liga Perdana semalam manakala hantarannya membawa kepada gol jaringan Anthony Martial dan Mason Greenwood.

United dilihat bergelut di bahagian tengah musim ini selepas Paul Pogba berdepan kecederaan tetapi Solskjaer berkata, pemain tengah Portugal itu mampu menggalas tugas yang ditinggalkan Pogba.

“Fernandes menjadi pemain amat penting ketika ini. Kami sudah memperoleh pemain yang beraksi di bahagian tengah menyerang. Harap dia dapat meneruskan aksi cemerlang itu.

“Dia sama seperti Veron dan Scholes. Kami memerlukan pemain sepertinya. Salah satu yang

menarik mengenai Fernandes ialah dia berani mengambil risiko seperti Veron,” katanya.

United kini menduduki tangga kelima liga dengan 41 mata daripada 27 perlawanan, tiga mata ketinggalan berbanding pasukan keempat, Chelsea.

Mereka akan berkunjung ke Everton Ahad depan selepas melayan kunjungan Club Brugge pada perlawanan timbal balik pusingan awal Liga Europa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Februari 2020 @ 12:19 PM