STUART Ramalingam
STUART Ramalingam
Meor Riduwan Meor Ahmad dan Syazwan Msar


SKUAD Harimau Malaya bakal mengharungi tiga perlawanan antarabangsa bulan depan dengan saingan pertama bertemu Sri Lanka pada 5 Oktober depan sekali gus menuntut komitmen tinggi daripada barisan pemain.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam berkata, pemilihan Sri Lanka sebagai medan ujian sebelum bertemu Vietnam dalam perlawanan ketiga pusingan kelayakan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, berikutan pasukan lain terutama negara yang berada di ranking lebih baik sibuk dengan jadual perlawanan masing-masing.

Beliau berkata, pengendali skuad Harimau Malaya Tan Cheng Hoe akan membariskan pemain yang terbaik bagi mengharungi perlawanan terbabit seterusnya mengekalkan momentum bagi membenam Vietnam nanti.

“Jika diikutkan perlawanan menentang Sri Lanka adalah di luar kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan pasukan lain pula ketika itu turut sibuk membuat persiapan bagi mengharungi saingan kelayakan Piala Dunia.

“Oleh itu, skuad Harimau Malaya akan mengharungi tiga perlawanan peringkat antarabangsa dalam tempoh 15 hari iaitu menentang Sri Lanka pada 5 Oktober sebelum disusuli pula Vietnam selang lima hari kemudian dan terakhir pada 15 Oktober mementang Hong Kong,’ katanya, di sini, hari ini.

Selain itu, Stuart berkata, hasil perbincangan dengan ahli gabungan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) baru-baru ini di Kemboja turut membincangkan berkaitan penganjuran Piala Dunia bersama perlu mendapat sokongan dan pembabitkan daripada pemerintah negara terbabit.

“Lanjutan daripada perbincangan itu akan ada perjumpaan bersama kementerian berkaitan antara negara yang terbabit dengan penganjuran Piala Dunia nanti.

“Jadinya, ada dua lagi perjumpaan akan diadakan sebelum keputusan atau perkara berkaitan penganjuran Piala Dunia dipersetujui bersama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 8:26 PM