Sensasi Jepun, Naomi Osaka membalas pukulan pemainSwitzerland, Viktorija Golubic dalam aksi di Olimpik Tokyo. FOTO AFP
Sensasi Jepun, Naomi Osaka membalas pukulan pemainSwitzerland, Viktorija Golubic dalam aksi di Olimpik Tokyo. FOTO AFP
AFP

Tokyo: Bintang Jepun, Naomi Osaka mara ke pusingan ketiga acara tenis Olimpik Tokyo ketika pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic meneruskan usaha memburu Grand Slam Emas.

Juara empat kali Grand Slam, Naomi Osaka tidak berdepan masalah mengatasi pemain di ranking ke-49, Viktorija Golubic dari Switzerland, 6-3, 6-2 dalam masa satu jam bagi perlawanan keduanya dalam temasya itu.

"Sejujurnya, saya rasa seperti sedikit gementar sebelum perlawanan," kata Naomi.

"Saya rasa seperti tidak tenteram, tetapi saya fikir selepas mula bermain dan perasaan lebih selesa, saya tahu tidak kira apa yang berlaku pastikan ia adalah perlawanan hebat."

Sebelum tiba di temasya itu, Naomi tidak beraksi sejak Mei lalu, selepas meninggalkan Terbuka Perancis dengan menyatakan komitmen media memberi tekanan kepada mentalnya.

Pemain berusia 23 tahun itu yang juga pilihan kedua adalah bintang di ranking tertinggi yang masih meneruskan perjuangan dalam acara yang berlangsung di Ariake Tennis Park.

Pemain nombor satu dunia dan juara Wimbledon, Ashleigh Barty sudah tersingkir pada pusingan pertama manakala pilihan ketiga, Aryna Sabalenka diketepikan Donna Vekic di pusingan kedua.

"Sememangnya cukup bermakna bagi saya jika memenangi pingat emas di sini, tetapi saya sedar ia memerlukan masa," kata Naomi, yang akan berdepan naib juara Terbuka Perancis, Marketa Vondrousova atau wakil Romania, Mihaela Buzarnescu untuk tempat ke suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 7:27 PM