Dollah mahu pemain manfaat tempoh rehat tiga minggu. FOTO NSTP
Dollah mahu pemain manfaat tempoh rehat tiga minggu. FOTO NSTP
Asrol Awang


TEMPOH rehat tiga minggu dalam saingan Piala Malaysia perlu dimanfaatkan sebaik mungkin skuad Pahang biarpun sudah layak ke suku akhir. 

Pengendali Tok Gajah, Dollah Salleh berkata, pemain tidak boleh bersikap sambil lewa apabila saingan Piala Malaysia kembali bersambung pada 14 September depan. 

"Mereka perlu lebih berhati-hati dalam baki dua perlawanan peringkat kumpulan, terutamanya mengelak daripada mengutip kad kuning menjelang saingan suku akhir.

"Keutamaan skuad kita adalah aksi suku akhir dan baki dua lagi perlawanan bertemu Perak dan Pulau Pinang perlu digunakan sebaik mungkin oleh pemain memperbaiki kelemahan masih ada," katanya. 

Pahang mengesahkan tempat ke suku akhir dalam Kumpulan C selepas mengutip 12 mata daripada empat perlawanan. 

Satu lagi slot kini menjadi rebutan antara Perak, Pulau Pinang dan Sabah. 

Bagi Pahang, kejayaan awal ke suku akhir itu menepati sasaran awal mereka di samping misi beraksi di pentas final selepas kali terakhir menjulang Piala Malaysia pada 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 5:09 PM