FEDERER tewas kepada pemain nombor 70 dunia dalam tempoh kurang sejam. FOTO AFP
FEDERER tewas kepada pemain nombor 70 dunia dalam tempoh kurang sejam. FOTO AFP
AFP

ROGER Federer tersungkur pada pusingan ketiga dalam pertemuan pertamanya dengan Andrey Rublev, yang mencipta kemenangan mengejut 6-3, 6-4 di Masters Cincinnati awal pagi tadi.

Juara Cincinnati tujuh kali yang menyambut ulang tahun ke-38 minggu lalu, gagal mempamerkan aksi meyakinkan memandangkan ia hanya perlawanan keduanya selepas tewas kepada Novak Djokovik pada final Wimbledon.

“Saya bergelut dengan servis pada awal permainan. Lima kali servis saya dipatahkan dan inilah penamatnya,” kata Federer.

“Ia sedikit sebanyak menjejaskan rentak permainan.

“Namun ia gabungan yang mencabar: dia bermain dengan baik. Mungkin saya bergelut dalam gerakan ofensif. Saya tidak fikir saya memukul bola dengan teruk tetapi ada kalanya anda tidak boleh terlalu bergantung kepada servis sedemikian untuk menundukkan lawan.”

Rublev, pemain kelayakan berusia 21 tahun yang tidak beraksi beberapa bulan musim lalu akibat kecederaan, turut terkejut dengan kemenangan ke atas juara Grand Slam 20 kali itu.

“Ia sesuatu yang menakjubkan apabila anda bermain menentang pemain legenda seperti Roger,” katanya.

“Sekurang-kurangnya 99 peratus penonton menyokongnya.

“Hari ini saya cuma cuba melakukan yang terbaik. Saya katakan kepada diri saya untuk merebut setiap mata sehingga ke akhirnya. Tidak kira apa situasinya, saya terus berjuang.”

Federer yang juga pilihan ketiga kejohanan tewas kepada pemain nombor 70 dunia dalam tempoh kurang sejam, tewas buat kali kesepuluh di Cincinnati selepas menang 47 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 8:24 AM