SAFAWI  (tengah) melepasi kawalan dua pemain PJ City FC,  Aizulridzwan Razali dan Subramaniam Sooryapparad  di Stadium Tan Sri Hassan Yunos. - FOTO BERNAMA
SAFAWI (tengah) melepasi kawalan dua pemain PJ City FC, Aizulridzwan Razali dan Subramaniam Sooryapparad di Stadium Tan Sri Hassan Yunos. - FOTO BERNAMA
Rizar Mohd Noor


WALAUPUN misi Johor Darul Ta'zim (JDT) meraih kemenangan 4-2 menewaskan Petaling Jaya City FC (PJ City FC) pada aksi Kumpulan B saingan Piala Malaysia semalam menjadi kenyataan tapi pengendali JDT, Benjamin Mora terkilan dengan kesilapan mudah benteng pertahanan skuad Harimau Selatan.

Juara Liga Super enam musim beturut-turut itu hampir sekali lagi diaibkan skuad kendalian K Devan tatkala begitu selesa mendahului 2-0 namun melepaskan dua gol mudah berpunca daripada kesilapan tidak sepatutnya dilakukan pertahanan untuk PJ City FC bangkit menyamakan jaringan.

"Gembira dengan tiga mata diraih dalam perlawanan itu. Tetapi kami perlu lihat semula punca menyebabkan lawan bangkit menjaringkan gol dan situasi menjadi panik selepas mereka mengikat dengan jaringan 2-2.

"Kami kena perbaiki kelemahan yang menyukarkan diri sendiri kerana ia tidak sepatutnya berlaku malah saya sudah mengingat kepada pemain berulang kali supaya fokus dan beraksi mengikut perancangan yang dibuat."

Tidak dinafikan dua gol mudah kami berikan kepada lawan nyata menyuntik semangat mereka untuk beri tentangan sengit. Bagaimanapun saya puji dengan keringat pemain JDT yang kembali konsisten untuk menjaringkan dua lagi gol bagi memastikan kemenangan 4-2," katanya.

Ditanya mengenai persembahan Safawi Rasid yang kembali menemui sentuhan penyudah selepas kurang menjadi pada aksi menentang UiTM FC, 2 Ogos lalu, Mora jelas gembira dengan komitmen pemain muda itu yang menunjukkan persembahan terbaik dan berjaya menjaringkan gol pembukaan dalam perlawanan itu.

Sementara itu, pengendali PJ City FC, K Devan kecewa dengan pertahanan yang begitu longgar sehingga membenarkan JDT mencipta kemenangan.

Katanya, selepas bangkit menyamakan jaringan 2-2 pada babak kedua, sepatutnya benteng perlu lebih mantap dan menghalang gerakan berbahaya lawan tapi mereka bagaikan hilang fokus dan membiarkan Harimau Selatan menjaringkan dua gol.

"Itu yang mengecewakan saya. Apabila kita bangkit menyamakan jaringan, sepatutnya benteng lebih fokus kerana momentum permainan kita berada di tahap terbaik tapi benteng hilang konsentrasi menyebabkan JDT kembali mendahului dalam tempoh singkat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 6:51 PM