ORANG ramai berjalan melewati skrin gergasi yang melaporkan kejayaan Hinako di Tokyo. - FOTO  AFP
ORANG ramai berjalan melewati skrin gergasi yang melaporkan kejayaan Hinako di Tokyo. - FOTO AFP
AFP

SELURUH warga Jepun hari ini mengagumi kejayaan Hinako Shibuno, pemain berusia 20 tahun yang mencipta kejutan dengan menjuarai Terbuka British, awal pagi tadi.

"Dia melakukannya,” kata penyampai TV, Tomoaki Ogura selepas Hinako yang turut digelar ‘Smiling Cinderella’ melakar kisah dongeng apabila muncul pemain Jepun pertama menjuarai kejohanan utama dalam masa 42 tahun.

"Siapa sangka dia mampu melakukan sehebat ini dalam penampilan pertamanya di luar negara apatah lagi kejohanan utama” katanya dalam siaran pagi stesen TV swasta.

Kejayaan Hinako itu mendapat liputan meluas stesen televisyen Jepun hari ini tetapi lewat disiarkan di muka depan akhbar namun tersebar luas di laman web.

Walaupun golf popular di Jepun, hanya seorang pemain Jepun sama ada wanita atau lelaki menjuarai kejohanan utama iaitu Chako Higuchi yang muncul juara Kejohanan PGA Wanita pada 1977.

Media sosial pula dipenuhi ucapan tahniah kepada Hinako yang hanya menjadi pemain profesional tahun lalu.

"Bintang baharu hebat telah dilahirkan!” kata pengguna Twitter. “Pencapaian bersejarah,” kata seorang lagi.

Chako pula dalam temuramah televisyen berkata, aksi Hinako sangat tenang seperti dia beraksi di negaranya sendiri.

Hinako membenam birdie dari jarak 18 kaki di lubang terakhir untuk mengesahkan kejuaraan di Woburn, kelmarin apabila menamatkan saingan dengan keseluruhan 18 di bawah par.

Hinako mengatasi pemain Amerika Syarikat, Lizette Salas dengan kelebihan satu pukulan sambil pemain nombor satu dunia dari Korea Selatan, Ko Jin-young menduduki tangga ketiga.

Hinako sendiri seolah-olah tidak percaya dengan kejayaannya itu.

“Saya tidak berasa gementar kecuali ketika melakukan putt di lubang terakhir,” katanya. “Tetapi selepas muncul juara, semua bulu roma saya berdiri dan saya tidak tahu apa yang harus saya katakan.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 8:08 PM