Sterling meraikan kejayaan menjaringkan gol pertama City. FOTO REUTERS
Sterling meraikan kejayaan menjaringkan gol pertama City. FOTO REUTERS
Agensi

MANCHESTER City memberi tamparan hebat pertama terhadap musuh ketat, Liverpool apabila meraih Perisai Komuniti menerusi kemenangan penalti 5-4 selepas kedua pasukan terikat 1-1 di Stadium Wembley, London, malam tadi.

Raheem Sterling memberikan City pendahuluan babak pertama sebelum Joel Matip menyamakan kedudukan untuk Liverpool menerusi tandukan pada aksi pembuka tirai musim baru Liga Perdana Inggeris (EPL).

Penjaga gol City, Claudio Bravo bertindak cemerlang menyelamatkan sepakan Georginio Wijnaldum sebelum Gabriel Jesus memastikan kemenangan penentuan selepas Ilkay Gundogan, Bernardo Silva, Phil Foden dan Oleksandr Zinchenko menyudahkan bahagian masing-masing.

Kemenangan diraikan oleh pemain serta penyokong City memberi calar fizikal awal kepada Liverpool biarpun perlawanan itu sepatutnya menjadi pertembungan persahabatan pemanas badan.

Skuad City bersama Perisai Komuniti. FOTO REUTERS
Skuad City bersama Perisai Komuniti. FOTO REUTERS

Dengan City diletakkan sebagai pasukan pilihan untuk menjulang gelaran Liga Perdana kali ketiga berturut-turut, Liverpool dijangka memberikan cabaran terkuat terhadap skuad Pep Guardiola.

"Ia perlawanan yang sukar," kata pemain tengah City, Kevin De Bruyne.

"Anda dapat lihat ia masih awal pra-musim. Dua pasukan ini masih belum bersedia secara fizikal. Menarik dapat melihat pertandingan ini dan kami akan bersaing semula pada musim baru ini.

"Ada pemain baru balik dua hari lalu yang lain sudah berlatih sejak dua atau tiga minggu lalu. Pra-musim lebih komersil kali ini jadi Ogos sangat penting."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 1:15 AM