HAFIZUL watak penting buat skuad Bos Gaurus.
HAFIZUL watak penting buat skuad Bos Gaurus.
Syazwan Msar


KESILAPAN lalu menjadi iktibar kepada penjaga gol Perak, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy supaya lebih berwaspada bagi mengelak terjadinya insiden gol jarak jauh seperti yang dihasilkan pemain Pahang, Herold Goulonda pada perlawanan pertama separuh akhir Piala FA 2019.

Hafizul berkata, dia akan memastikan gawang skuad Bos Gaurus tidak dibolosi dengan mengelak melakukan kesilapan mudah selain sentiasa berkomunikasi antara pemain pertahanan bagi mengekang asakan penyerang Kedah.

Menurutnya, pengalaman beraksi di pentas akhir Piala Malaysia tahun lalu turut membantu memperagakan aksi kemas seterusnya memastikan gawang Perak tidak dibolosi dengan mudah.

“Setiap penjaga gol pasti akan melakukan kesilapan, namun kita perlu bangkit dan memperbaiki kelemahan yang ada seterusnya mempamerkan aksi cemerlang membantu pasukan.

“Saya sudah dihukum atas kesilapan lalu dan tiba masanya membuktikan keupayaan pada perlawanan akhir Piala FA seterusnya membalas kepercayaan jurulatih yang tetap yakin dengan persembahan saya,” katanya ketika ditemui Arena Metro, semalam.

Sebelum ini, Hafizul menjadi bahan kutukan penyokong skuad Bos Gaurus ekoran kealpaannya melepaskan gol ketika Perak kalah 1-3 kepada Pahang dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Namun, bekas pemain skuad Piala Presiden itu bangkit pada perlawanan separuh akhir kedua apabila berjaya menepis serangan penyerang Pahang sebelum melakar kemenangan 3-0 di Stadium Ipoh.

Sementara itu, Hafizul menuntut setiap pemain Perak mempamerkan aksi terbaik seterusnya menjulang Piala FA sebagai hadiah kepada peminat yang terus memberi sokongan padu kepada pasukan.

“Penyokong Bos Gaurus menjadi antara nadi penting kepada pasukan apabila tetap memberikan sokongan hingga Perak berjaya ke pentas final,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 6:00 AM