SKUAD Pahang perlu cergas berdepan Perak, malam esok.
SKUAD Pahang perlu cergas berdepan Perak, malam esok.
Asrol Awang

Kuantan: Penolong jurulatih Pahang, Ahmad Shaharuddin Rosdi menganggap kelebihan dua gol belum menjamin tempat buat anak buahnya di separuh akhir Piala Malaysia.

Beliau berkata, kemenangan 3-1 pada suku akhir pertama lalu memerlukan komitmen tinggi semua pemain untuk menyekat The Bos Gaurus di Stadium Perak, malam esok.

Justeru, katanya, persediaan yang lebih rapi diyakini membantu untuk mencapai misi kemenangan kerana Perak beraksi lebih baik di laman sendiri.

“Sebenarnya, jadual baru iaitu beraksi pada Ahad ini memberi lebih masa untuk memastikan pemain Pahang benar-benar bersedia untuk memberi cabaran kepada tuan rumah.

“Sudah pasti Perak akan melakukan segala-galanya terutama melakukan asakan awal bagi memberi tekanan kepada Pahang dan diharapkan pemain dapat beraksi dengan lebih baik,” katanya semalam.

Bagi skuad Tok Gajah, rombakan pemain yang dilakukan ketika membenam Sarawak 3-0 pada aksi Liga Super memberi rehat secukupnya buat pemain utama yang direhatkan.

Namun, keberkesanan yang dipersembah pemain simpanan juga memberi inspirasi buat Pahang untuk memilih kesebelasan terbaik sekali gus mengisi slot separuh akhir piala berprestij itu.

Shaharuddin berkata, perkara utama yang diharapkan adalah memastikan semua pemain benar-benar cergas untuk berdepan Perak yang akan berjuang berhabis-habisan.

Katanya, segala-galanya diharap menjadi buat skuad Tok Gajah terutama jentera pertahanan yang diyakini mampu mempertahankan kubu daripada dibolosi.

“Saya percaya pemain mampu menjalankan tugas masing-masing dan tidak sesekali melakukan sebarang kesilapan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2017 @ 1:59 AM