KEGEMBIRAAN Pulau Pinang di Stadium Hang Jebat, Melaka malam tadi bertukar menjadi kesedihan. — FOTO Nazri Abu Bakar
KEGEMBIRAAN Pulau Pinang di Stadium Hang Jebat, Melaka malam tadi bertukar menjadi kesedihan. — FOTO Nazri Abu Bakar
Syazwan Msar


KEGEMBIRAAN Pulau Pinang yang layak ke Liga Super musim depan hanya bertahan tidak sampai 24 jam apabila pasukan itu dikenakan pemotongan enam mata oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) seterusnya jatuh ke kedudukan ketujuh liga.

Kesilapan yang hanya berpunca daripada masalah tukaran mata wang asing terus menghukum Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) yang gagal mengikut arahan dan tempoh masa ditetapkan Jawatankuasa Tatatertib FIFA.

FAP sepatutnya menjelaskan tuntutan rasmi daripada bekas pertahanan import dari Brazil, Reinaldo Lobo yang pernah beraksi bersama pasukan Pulau Mutiara selama tiga musim dari 2015 hingga 2017 dalam tempoh 30 hari selepas keputusan dikeluarkan atau berdepan pemotongan mata jika gagal berbuat demikian.

Timbalan Presiden FAP Datuk Abdul Rashid Ismail berkata, perkara itu begitu perit untuk diterima pemain dan pengurusan persatuan selepas bertungkus-lumus memastikan Pulau Pinang berada pada kedudukan lima pasukan terbaik seterusnya berpeluang ke Liga Super.

Beliau berkata, pihaknya akan menggunakan apa jua medium termasuk membuat rayuan kepada FIFA dan meminta bantuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) supaya hukuman terbabit ditarik semula.

“Tunggakan gaji pemain itu sudah diselesaikan walaupun masalah terbabit berpunca daripada pengurusan lama.”

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam menerusi kenyataan media memaklumkan skuad Harimau Kumbang itu dikenakan tindakan pemotongan enam mata seperti yang diarahkan oleh FIFA.

Katanya, FAM sudah mengemukakan tiga rayuan kepada FIFA, namun badan induk bola sepak dunia itu tetap bertegas mahukan hukuman pemotongan mata itu dilakukan walaupun FAP sudah menyelesaikan bayaran.

“Dalam hal ini, FAM amat bersimpati dengan FAP dan pada masa sama tetap menghargai usaha yang dilakukan oleh pengurusan baharu FAP untuk cuba menyelesaikan juga kes lama ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 8:53 PM