REINALDO  Lobo.
REINALDO Lobo.
BERNAMA

PELUANG untuk pasukan Pulau Pinang bermain di Liga Super musim depan masih terbuka selepas Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) bercadang mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan terhadap keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Presiden FAP, Dr Amar Pritpal Abdullah hari ini berkata, beliau berasa sangat kecewa dengan keputusan FIFA yang memotong enam mata daripada pasukan disebabkan kesilapan dilakukan pengurusan lepas.

Katanya, pengurusan FAP yang baharu sanggup membayar caj penalti walaupun berganda daripada tuntutan wang asal sekiranya keputusan pemotongan enam mata daripada pasukan negeri ini dapat ditarik balik FIFA.

"Kami akan membuat rayuan kepada CAS terhadap keputusan FIFA yang dilihat begitu keras kepada Pulau Pinang yang baru berjaya menempuhi segala rintangan untuk layak ke Liga Super musim depan," katanya dalam satu sidang akhbar di sini.

Ahad lepas, FAP dikenakan pemotongan enam mata oleh FIFA ekoran gagal mengikut arahan dan tempoh masa ditetapkan Jawatankuasa Tatatertib FIFA untuk menjelaskan tuntutan rasmi daripada bekas pertahanan import dari Brazil, Reinaldo Lobo.

Dr Amar berkata, FAP dengan bantuan kerajaan negeri sedang berusaha melantik peguam berpengalaman untuk mengemukakan rayuan kepada CAS dalam tempoh masa terdekat.

"Proses rayuan sedang diusahakan dan saya menjangka keputusan rayuan itu tidak akan mengambil masa panjang, mungkin dalam masa satu atau dua bulan sahaja," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pulau Pinang Soon Lip Chee yang turut hadir dalam sidang akhbar itu berkata kerajaan negeri berharap CAS akan membuat siasatan terhadap rayuan pasukan Pulau Pinang dan memberikan satu keputusan yang adil.

Pada 25 Mac lalu, FIFA menghantar surat mengarahkan FAP membayar US$90,000 (RM370,000) bersama faedah lima peratus kepada Lobo.

FIFA juga mengenakan denda tambahan US$10,000 (RM41,000) kerana kegagalan FAP membuat bayaran seperti diarahkan Kamar Penyelesaian Pertelingkahan Kebangsaan (NDRC).

Pada 17 April, FAP membuat pembayaran berjumlah US$92,597.72 (RM386,391.77) ke akaun bank Lobo tanpa pengetahuan FAM dan pada 29 April, peguam dilantik Lobo telah menghantar surat kepada FIFA untuk memaklumkan telah menerima bayaran tersebut namun FAP tidak membuat pembayaran sepatutnya iaitu US$97,041.83 (RM399,379.06).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 7:15 PM