JIHIN menjuarai One Championship di Arena Axiata Bukit Jalil. FOTO/ROSDAN WAHID
JIHIN menjuarai One Championship di Arena Axiata Bukit Jalil. FOTO/ROSDAN WAHID
Meor Riduwan Meor Ahmad


ATLET seni bela diri campuran (MMA) wanita negara, Jihin Radzuan, 21, enggan dilabel 'jaguh kampung' dan mencabar diri untuk menguasai pertandingan One Championship di bumi asing dua tahun lagi.

Kejayaan menewaskan jaguh dari Filipina, Jomary Torres pada Jumaat lalu, melebarkan rekod kemenangannya dalam pertarungan profesional kepada lima dan satu kekalahan.

Kelima-lima kemenangan itu diraih di dalam negara iaitu empat di Arena Axiata Bukit Jalil dan satu di Johor Bahru, manakala penampilan pertama di Bangkok, pada 16 Februari lalu menyaksikan Jihin tunduk kepada jaguh Filipina, Gina Iniong.

"Hujan emas di negara orang, saya lebih pilih lawan di Malaysia sebab rasa lebih semangat dengan sorakan dan sokongan rakyat Malaysia.

"Tapi bila diberi peluang bertarung di luar negara saya tidak akan tolak. Pengalaman perlukan masa tapi kita kena berani.

"Saya yakin setahun atau dua tahun lagi untuk fokus memberi saingan dalam One Championship di luar negara," katanya ditemui selepas perlawanan itu.

Jihin atau dikenali 'Shadowcat' hanya memerlukan tiga minit dan tujuh saat di pusingan pertama untuk mengatasi Jomary menerusi serangan agresif sebelum menjatuhkan lawannya dengan aksi 'deep triangle choke'.

Walaupun Jomary bertindak agresif untuk melepaskan diri dengan menghempas tubuhnya beberapa kali, Jihin bertahan dengan baik memaksa lawannya menyerah kalah.

"Saya memang yakin untuk menang dan buat sehabis baik bagi menebus kekalahan sebelum ini. Memang saya teruja lawan Jomary dan bertarung pula di Malaysia jadi saya amat bangga dan teruja dengan kemenangan ini.

"Alhamdulillah, hasil latihan kuncian bersama jurulatih selepas kami melihat video perlawanannya sebelum ini, membolehkan saya bersedia dengan gerak gerinya menghempas saya.

"Kemenangan ini memang ketentuan hasil latihan dan selebihnya bertawakal kepada Allah SWT," katanya.

Kejayaan Jihin turut disemarakkan seorang lagi bintang seni bela diri campuran (MMA) negara, Ev Ting yang menewaskan bekas juara dunia 'Pancrase Welterweight', Daichi Abe dari Jepun menerusi kuncian di leher.

Dalam perlawanan ONE Super Series membabitkan dua petarung Malaysia, Mohammed Mahmoud atau 'Jordan Boy' berjaya mengatasi 'sifu' Muay Thai, Saiful Merican dalam pertarungan tiga pusingan.

"Saya hanya fokus kepada pertarungan sebaik masuk ke gelanggang. Tiga kali kalah sebelum ini, jadi saya buat yang terbaik," kata Mohammed.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2019 @ 8:40 PM