Kontinjen angkat berat Terengganu muncul juara keseluruhan Kejohanan Angkat Berat Junior dan Senior Kebangsaan Sirkit 1 di Sarawak. Ihsan PABT
Kontinjen angkat berat Terengganu muncul juara keseluruhan Kejohanan Angkat Berat Junior dan Senior Kebangsaan Sirkit 1 di Sarawak. Ihsan PABT
Malik Muhamad


KONTINJEN angkat berat Terengganu berjaya memecahkan lima rekod baharu kebangsaan pada Kejohanan Angkat Berat Junior dan Senior Sirkit 1 Kebangsaan di Sarawak yang berakhir semalam.

Terengganu muncul juara keseluruhan kejohanan selepas meraih 24 pingat emas, 24 perak dan sembilan gangsa untuk mengetepikan pencabar terdekat, Sabah di kedudukan kedua manakala Sarawak di tempat ketiga.

Presiden Persatuan Angkat Berat Terengganu, Mohd Shafaruddin Mustaffa berkata, Terengganu mengutip 15 pingat emas, 13 perak dan tujuh gangsa bagi kategori Junior manakala pasukannya meraih sembilan emas, 11 perak dan dua gangsa bagi kategori Senior.

“Mohamad Norfarhan Ideris yang bertanding acara clean and jerk bagi kategori 109 kilogram (kg) berjaya memecah rekod kebangsaan dengan angkatan seberat 177 kg manakala Muhammad Azfar Kamaruddin (kategori 81 kg) juga beraksi acara sama berjaya melakukan angkatan berjumlah 164 kg dan Mohd Syahir Mat Tera dengan angkatan seberat 156 kg bagi kategori 96 kg acara yang sama.

“Muhammad Saiful Irfan Abd Rahim yang bersaing bagi kategori 73 kg pula melakukan angkatan 160 kg dalam acara clean and jerk manakala bagi acara snatch, Muhammad Ikram Haikal Muhammad Zuari (kategori 73 kg) cemerlang menerusi angkatan seberat 122 kg.

"Kejayaan ini adalah hasil latihan berterusan dan sistematik yang dikendalikan jurulatih dan pihak persatuan selain disiplin tinggi daripada kalangan atlet,” katanya.

Kejohanan yang berlangsung selama lima hari bermula 23 Jun lalu membabitkan 118 atlet daripada 13 pasukan yang bertanding.

“Kita menyasarkan untuk muncul juara sekali lagi pada sirkit kedua yang dijangka diadakan di Johor pada September depan diikuti Sabah pada November dan di Terengganu pada tahun depan sebelum penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) di Johor pada Julai 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 6:26 PM