YUSRI yakin  pemain tempatan mampu galas tugas ditinggalkan pemain import pasukan.
YUSRI yakin pemain tempatan mampu galas tugas ditinggalkan pemain import pasukan.
Syazwan Msar


KETIKA ada pasukan yang membeli pemain import baharu bagi menguatkan lagi skuad masing-masing, lain pula bagi Kelantan apabila mereka kini boleh dikatakan tempang dengan hanya dibarisi tenaga tempatan.

Jika mengikut perkiraan, The Red Warriors di bawah kendalian Yusri Che Lah akan mengharungi baki perlawanan liga tanpa kelibat pemain import yang kebanyakannya sudah ‘cabut’ apabila mengetahui pasukan terbabit menghadapi masalah kewangan.

Perkara itu diakui Yusri apabila terpaksa mengharapkan sokongan penyokong dan komitmen tinggi daripada pemain bagi memastikan pasukan terbabit boleh terus kekal bersaing.

Mengikut rekod, Kelantan yang kini menghuni tangga tercorot Liga Perdana kemungkinan akan tersingkir ke Liga M3 jika pasukan terbabit tidak mampu mencatatkan kemenangan pada perlawanan akan datang.

Yusri berkata, beliau tidak mahu mengeluh atau berputus harapan walaupun ketiadaan pemain import dan akan menggalas tanggungjawab diberikan itu sebaik mungkin tanpa
sebarang masalah.

“Saya akui, beberapa masalah yang timbul membabitkan Kelantan memberi kesan kepada moral pemain, namun itu bukan alasan untuk cepat mengalah dan menyerah kepada takdir saja.

“Melihat kepada situasi semasa, tidak banyak yang boleh saya lakukan, namun tetap optimis pemain tempatan mampu bangkit memberikan saingan kepada pasukan lain,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, pemain pertahanan dari Brazil, Cassio De Jesus untuk mengikuti jejak langkah bekas rakan sepasukannya iaitu Flavio Beck Junior, Mustafa Zazai dan Raul Tarragon untuk meninggalkan pasukan dari Pantai Timur itu.

Cassio berkata, beliau membuat keputusan meninggalkan pasukan selepas Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) didakwa gagal membayar gaji pemain berkenaan sejak lima bulan lalu.

Selain itu, Yusri berkata, beliau tidak mahu masuk campur urusan pentadbiran KAFA dan mahu terus fokus memastikan pasukan keluar dari zon penyingkiran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2019 @ 6:10 AM