LEE ZII JIA
LEE ZII JIA

KALAU sudah tak mampu, jangan dipaksa-paksa. Mungkin itu ungkapan paling sesuai untuk menggambarkan situasi yang dialami pemain perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei ketika ini.

Ramai yang masih mengharap dia segera kembali ke gelanggang untuk memungut mata, sekali gus layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 buat kali kelima berturut-turut.

Tapi kalau tuan punya badan sudah tidak mampu, siapa kita untuk memaksanya. Seperti yang dikatakan oleh Misbun (Datuk Misbun Sidek), biarlah ketika ini ruang diberikan seluas-luasnya kepada Chong Wei.

Soal dia mampu kembali beraksi semula atau tidak selepas disahkan menghidap kanser hidung dan kini terus menjalani rawatan, itu biarlah Chong Wei buat keputusan sendiri.

Sememangnya kesihatan lebih penting daripada ‘tergesa-gesa’ untuk keluar beraksi dan mungkin pada akhirnya nanti akan mengecewakan Chong Wei sendiri.

Lagipun sudah terlalu banyak sumbangannya kepada negara, jadi apa salahnya dia berehat buat sementara.

Jadi, tidak perlu pening kepala memikirkan mengenai Chong Wei lagi. Yang perlu diberi tumpuan ketika ini adalah barisan pemain muda negara.

Siapa? Lee Zii Jia ada peluang cerah untuk layak ke Sukan Olimpik buat kali pertama. Jadi kalau ada peluang, maka program khusus harus diberikan kepadanya.

Mungkin ramai yang masih tidak meletakkan kepercayaan di bahu pemain itu. Tetapi percayalah, Zii Jia adalah yang terbaik kita ada ketika ini.

Sepanjang enam bulan pertama tahun ini, masih ada peningkatan dalam corak permainannya meskipun rata-rata kejohanan yang dilaluinya kandas di suku akhir.

Di kesempatan ini juga saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua warga sukan dan umat Islam di negara ini.

Jumpa lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 6:01 AM