MESSI (kanan) melepasi pemain B-17 Argentina sambil disaksikan Paulo Dybala (tengah) ketika sesi latihan Argentina di Ezeiza, awal pagi tadi. — FOTO AFP
MESSI (kanan) melepasi pemain B-17 Argentina sambil disaksikan Paulo Dybala (tengah) ketika sesi latihan Argentina di Ezeiza, awal pagi tadi. — FOTO AFP
AFP

LIONEL Messi masih “sayang” pasukan kebangsaan Argentina di sebalik kekecewaan lebih sedekad, menurut rakan sepasukan Sergio Aguero semalam ketika mereka bersiap sedia menghadapi Copa America di negara jiran Brazil.

Di sebalik kabinet trofinya dipenuhi dengan kejayaan di kelab, kedua-dua Messi dan Aguero mengalami kepedihan bersama pasukan kebangsaan Argentina.

Messi, penjaring gol terbanyak Argentina sepanjang zaman dan Aguero adalah sebahagian daripada skuad Argentina yang kalah tiga aksi final kejohanan utama dalam tahun berturut-turut pada Piala Dunia 2014, Copa America 2015 dan Copa America Centenario 2016.

Messi turut muncul naib juara pada kejohanan sebenua itu pada 2007.

AGUERO (kanan) dicabar Guido Pizarro ketika latihan. — FOTO Reuters
AGUERO (kanan) dicabar Guido Pizarro ketika latihan. — FOTO Reuters

Kekecewaan pemenang Ballon d’Or lima kali itu bersama pasukan kebangsaan sudah dimaklumi dan pada usia 31 tahun dia kesuntukan masa serta peluang untuk memenangi kejuaraan utama antarabangsa bersama negaranya.

Dia pernah bersara daripada tugasan antarabangsa sebelum ini – sekalipun seketika – dan berehat lapan bulan susulan penyingkiran Argentina pada pusingan 16 terakhir Piala Dunia setahun lalu.

“Kami tahu keghairahan dimiliki Leo apabila dia datang ke sini,” kata Aguero dari pusat latihan Argentina di pinggir Buenos Aires.

“Kegembiraan dibawanya penting buat kami kerana kami sedar betapa dia amat sayangkan pasukan kebangsaan.”

Walaupun memenangi kejuaraan La Liga Sepanyol buat kali ke-10 bersama Barcelona musim ini, Messi tetap kecewa di peringkat kelab.

Dia tidak menyembunyikan keinginannya untuk memenangi Liga Juara-Juara musim ini, malah mengakui sebelum kempen bermula bagaimana dia mahu “membawa pulang piala cantik itu ke Nou Camp.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 7:45 AM