CALIJURI pernah beraksi bersama Shan United dan Persiba Balikpapan.
CALIJURI pernah beraksi bersama Shan United dan Persiba Balikpapan.
Malik Muhamad

BERBAKI seminggu lagi sebelum jendela kedua perpindahan pemain melabuhkan tirainya, pendahulu Liga Perdana, UiTM FC menyambar Maycon Rogerio Calijuri bagi menajamkan lagi jentera serangan skuad The Lions Troop itu.

Perkara itu disahkan ketua jurulatihnya, Ismail Zakaria yang menyatakan bekas pemain kelab Shan United dalam Liga Myanmar berusia 33 tahun itu kini sudah menjalani latihan bersama pasukan.

"Kehadiran pemain itu dua hari lalu bagi menggantikan penyerang dari Senegal, Robert Mendy yang terpaksa berehat sehingga lapan minggu akibat kecederaan dan diharapkan kemasukan pemain itu bakal memberi impak yang positif kepada pasukan terutamanya jentera serangan.

"Penyerang yang pernah beraksi bersama kelab Persiba Balikpapan dalam Liga Indonesia itu bakal membuat penampilan pertamanya malam esok bertemu Selangor United di Stadium UiTM Shah Alam," ujar Ismail.

Pemain kelahiran Brazil itu bakal digandingkan dengan penyerang dari Montenegro, Zarko Korac yang kini muncul penjaring terbanyak Liga Perdana dengan meledak 10 gol manakala bekas rakan sepasukan, Mendy muncul penjaring kedua terbanyak dengan menjaringkan tujuh gol.

Sebelum ini, UiTM mengikat pemain tengah kelahiran Kyrgyzstan, Akhlidin Israilov bagi menggantikan pemain dari Brunei, Adi Said yang sebelum itu mencipta sejarah meledak gol terpantas dalam saingan Liga Perdana musim ini ketika permainan baru memasuki 21 saat dimulakan ketika menentang PDRM.

"Corak permainan Akhlidin tidak mengecewakan ketika pertama kali diturunkan menentang Sarawak minggu lalu. Namun begitu saya mahu pemain baru itu mempamerkan aksi lebih bertenaga bertemu Selangor United bagi memastikan kedudukan di tangga teratas liga kekal menjadi milik kami," katanya.

Berdasarkan kedudukan terkini, skuad itu memimpin carta Liga Perdana dengan mengutip 26 mata hasil 13 perlawanan diikuti Johor Darul Ta'zim II (25 mata), Sabah (24) dan Terengganu FC II, 22 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 6:20 PM