Pemain Perak, Mohd Nor Hakim Hassan (kiri) melepasi pemain PKNP FC, Mohamad Ezanie Mat Salleh.
Pemain Perak, Mohd Nor Hakim Hassan (kiri) melepasi pemain PKNP FC, Mohamad Ezanie Mat Salleh.
Farah Suhaidah Othman


JURULATIH PKNP FC, Abu Bakar Fadzim mengakui kekurangan pengalaman dalam kalangan pemain menjadi faktor utama pasukannya tewas 1-2 kepada skuad ‘abang’ mereka Perak pada aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Perak, semalam.

Menurut Abu Bakar, perlawanan itu sangat 'dramatik' terutama pada 15 minit terakhir walaupun skuadnya dilihat lebih banyak menguasai permainan pada separuh masa kedua.

"Apabila kita mengubah sedikit taktikal pada separuh masa kedua, kita membuktikan kepada pasukan tuan rumah yang kita mampu bersaing dan mencari gol penyamaan.

"Namun kealpaan serta kurangnya pengalaman dihukum pada tiga minit terakhir, itulah perbezaannya pengalaman dimiliki pemain Perak dan pemain saya," katanya yang akur dengan kekalahan itu selepas skuad Perak menunjukkan semangat juang berhabis-habisan untuk mencatat kemenangan pada perlawanan kedua selepas terikat tanpa jaringan pada perlawanan pertama.

Jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim. FOTO Abdullah Yusof.
Jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim. FOTO Abdullah Yusof.

Kemasukan dua pemain import baru Perak, Ronaldo Henrique Silva dan Raianderson Da Cost Morais nyata membuahkan hasil apabila kedua-dua mereka memainkan peranan memacu kemenangan pasukan.

Abu Bakar berkata, PKNP akan fokus semula kepada saingan Liga Super dan seterusnya Piala Malaysia untuk bersaingan dengan pasukan lain.

“Kita mahu kekal dalam Liga Super kerana persaingan agak sengit dan kita harap kita boleh bermain untuk tahun ketiga bagi memberi pendedahan kepada pemain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2019 @ 8:37 PM