Pemain Malaysia, Azuan Hasan (kanan) diasak pemain Austria, Oliver Kern ketika separuh akhir pusingan akhir siri FIH. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
Pemain Malaysia, Azuan Hasan (kanan) diasak pemain Austria, Oliver Kern ketika separuh akhir pusingan akhir siri FIH. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
Saiful Affendy Sapran


MALAYSIAN Tigers memenuhi sasaran untuk mara ke pentas final Pusingan Akhir Siri FIH selepas menewaskan Austria 3-1 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Dengan kejayaan mara ke final, skuad negara juga mengesahkan layak beraksi pada kempen kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada hujung Oktober dan awal November depan.

Skuad bimbingan Roelant Oltmans itu akan bertemu Kanada pada aksi final esok. Akhimullah Anuar hampir meletakkan skuad negara di depan pada minit ke-6 tetapi tolakannya berpunca dari hantaran Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal sedikit tersasar.

Minit ke-11 giliran Azrai pula hampir menghadiahkan gol pertama skuad negara tetapi hayunannya terkena tiang gol lawan.

Pemain Malaysia, Norsyafiq Sumantri (kanan), mengawal bola dari pemain Austria, Xaver Hasun, ketika separuh akhir pusingan akhir siri FIH.
Pemain Malaysia, Norsyafiq Sumantri (kanan), mengawal bola dari pemain Austria, Xaver Hasun, ketika separuh akhir pusingan akhir siri FIH.

Gol yang ditunggu akhirnya muncul selepas penyerang negara, Faizal Saari tenang menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-11.

Austria menunggu sehingga minit ke-32 untuk menyamakan kedudukan menerusi biasan Leon Thornblom yang mengelirukan penjaga gol skuad negara, Muhammad Hairi Abd Rahman.

Malaysian Tigers dihadiahkan pukulan sudut penalti minit ke-35, namun ia gagal untuk menghasilkan gol.

Muhammad Marhan Mohd Jalil menambah gol kedua skuad negara minit ke-55 berpunca daripada set piece pukulan sudut penalti.

Meor Muhammad Azuan Hassan mengesahkan kemenangan skuad negara menerusi jaringan padang dua minit sebelum tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 9:46 PM