DE Gea kecewa selepas pasukannya tewas.
DE Gea kecewa selepas pasukannya tewas.
AFP

RIAK wajah David de Gea pada saat terakhir aksi Manchester United yang berkesudahan seri dengan Chelsea mendedahkan kekecewaan penjaga gol yang sering melakukan kesilapan selepas satu lagi aksi cemerkapnya.

De Gea berada pada prestasi mengecewakan dan musim malang penjaga gol Sepanyol itu berterusan di Old Trafford semalam.

Sewaktu Antonio Rudiger mencuba nasibnya dengan rembatan jarak jauh, percubaan pertahanan Chelsea itu sepatutnya mudah diselamatkan De Gea.

Sebaliknya, dalam aksi yang menggambarkan kemerosotan prestasi dan keyakinan, penjaga gol Sepanyol itu hanya membiarkan bola terlepas daripada tangannya untuk berada di laluan Marcos Alonso, yang memanfaatkan peluang menyamakan kedudukan.

United gagal bangkit daripada kejutan itu apabila Chelsea bertahan untuk keputusan seri 1-1 yang meletakkan mereka tiga mata di depan pencabar mereka untuk merebut empat tangga teratas Liga Perdana Inggeris.

Andai terlepas tiket ke Liga Perdana Inggeris, ramai akan menuding jari kepada De Gea yang berubah dari benteng United yang mantap kepada satu daripada titik kelemahan mereka sejak beberapa bulan kebelakangan.

Bahasa tubuh De Gea, dengan tangan di pinggul dan kepala menunduk pada saat terakhir perlawanan menentang Chelsea sudah cukup jelas menggambarkan betapa seriusnya kerosakan yang berpunca daripada satu lagi kesilapan.

Statistik menggambarkan dia melakukan tiga kesilapan yang mengundang gol lawan dalam empat perlawanan sebelumnya, berbanding 123 perlawanan sebelumnya bersama United.

Ia bagaikan era kejatuhan buat penjaga gol berusia 28 tahun yang ketika berada di Piala Dunia tahun lalu dianggap sebagai antara yang terbaik di dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 10:25 PM