PAUL Pogba
PAUL Pogba
AFP

PENGENDALI Manchester United Ole Gunnar Solskjaer mengakui bintang tengahnya Paul Pogba tidak dapat beraksi menentang seteru utama mereka Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris Ahad ini, tatkala penjaga gol David de Gea juga dikhuatiri tidak beraksi susulan kecederaan.

Pogba,26, pemenang Piala Dunia bersama Perancis masih belum pulih daripada kecederaan buku lali manakala De Gea terpaksa dikeluarkan ketika perlawanan kelayakan Piala Dunia membabitkan Sepanyol dan Sweden semalam.

“Paul mengalami kecederaan, dia kembali, dia berlatih bersungguh-sungguh. Dia bermain dalam beberapa perlawanan, mungkin bermain sambil menahan kesakitan,” kata Solskjaer.

“Dia menjalani imbasan selepas perlawanan menentang Arsenal dan mungkin memerlukan rehat beberapa minggu, jadi saya harap rehatnya tidak terlalu panjang, tetapi dia terlepas perlawanan ini.”

Mengenai De Gea, pengurus United itu berkata : “Saya fikir dia akan direhatkan.”

United kini bergelut di tangga ke-12 menjelang aksi di Old Trafford menentang pendahulu liga Liverpool.

Mereka hanya mengumpul sembilan mata, 15 mata di belakag Liverpool yang mencatat rekod sempurna 24 mata daripada lapan perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 8:46 AM