SOLSKJAER beri bayangan akan menurunkan Romero pada aksi United seterusnya. FOTO AFP
SOLSKJAER beri bayangan akan menurunkan Romero pada aksi United seterusnya. FOTO AFP
AFP

OLE Gunnar Solskjaer mengakui tempat David De Gea masih belum selamat selepas penjaga gol itu melakukan beberapa kesilapan ketika Manchester United tewas dalam perlawanan separuh akhir Piala FA bertemu Chelsea.

Chelsea akan berdepan musuh setempat, Arsenal dalam perlawanan akhir 1 Ogos ini dan berterima kasih kepada dua kesilapan De Gea sehingga membolehkan mereka mencatat kemenangan 3-1 di Wembley pagi tadi.

"Dia tahu perlu menyelamatkan 100 kali daripada 100 percubaan tapi itulah bola sepak.

"Saya tidak boleh bercakap mengenai keyakinan De Gea namun dia mempunyai kekuatan mental. Saya membuat keputusan untuk menurunkannya dan secara mental dia sudah bersedia," katanya.

Ditanya adakah De Gea akan digantikan dengan Sergio Romero ketika United menyambung aksi menentang West Ham dalam perlawanan sangat penting, Solskjaer tidak menolak sebarang kemungkinan menyingkirkan bintang itu.

"Sebenarnya semua orang perlu memberikan persembahan terbaik. Semua orang mempunyai peluang untuk memberikan aksi terbaik seterusnya mendapat tempat di dalam pasukan.

"David sedar bahawa dia patut dapat menyelamatkan percubaan kedua namun ia sudah berakhir sekarang, kita harus pandang ke depan untuk aksi seterusnya.

"Ia sangat sukar untuk penjaga gol menebus kembali kesilapan. David menunjukkan perwatakan sebenar dalam baki aksi seterusnya dengan menyelamatkan beberapa percubaan," katanya.

Masa depan De Gea di United menjadi tanda tanya selepas penjaga gol yang sedang dipinjamkan kepada Sheffield United, Dean Henderson beraksi cemerlang musim ini.

Solskjaer juga sudah melabelkan Henderson sebagai penjaga gol nombor satu England pada masa akan datang dan ia bukan satu yang mengejutkan jika dia kembali ke United mencabar kedudukan De Gea.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 3:25 PM