PAHANG (jersi hitam) bergelut sebelum menyingkirkan UKM FC 1-0 pada pusingan ketiga, malam tadi. — FOTO BERNAMA
PAHANG (jersi hitam) bergelut sebelum menyingkirkan UKM FC 1-0 pada pusingan ketiga, malam tadi. — FOTO BERNAMA
Firdaus Hashim


JUARA bertahan Piala FA, Pahang berdepan ujian getir untuk mempertahankan mahkota kejuaraan apabila diundi berdepan juara dua kali Terengganu FC pada suku akhir.

Berdasarkan jadual aksi, perlawanan pertama akan dijalankan pada 30 April dan 1 Mei, manakala aksi kedua pada 10 dan 11 Mei ini.

Skuad Tok Gajah yang mengetuai kemaraan ke peringkat lapan terbaik bersama tujuh pasukan lain diletakkan sebagai pilihan utama mengulangi pencapaian musim lalu yang menyaksikan mereka muncul juara kali ketiga selepas mengalahkan Selangor 2-0 pada final.

Malah ketiadaan skuad gergasi Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor yang tersungkur pada pusingan ketiga mencerahkan lagi peluang anak buah Dollah Salleh mengekalkan trofi itu.

TFC (jersi hitam) terpaksa bangkit sebelum menundukkan Kelantan United pada pusingan ketiga, kelmarin. — FOTO Syamsi Suhaimi
TFC (jersi hitam) terpaksa bangkit sebelum menundukkan Kelantan United pada pusingan ketiga, kelmarin. — FOTO Syamsi Suhaimi

Bagaimanapun, Dollah yang ditemui pada majlis undian suku akhir di sini hari ini menyatakan kebimbangan susulan peningkatan skuad Penyu dan mengakui banyak kerja rumah perlu dilakukan sebelum aksi itu.

“Bukan semua pasukan yang kami lawan mudah. Macam malam tadi, Pahang nyaris dimalukan oleh UKM FC dan mujur kami menang 1-0. Kami anggap semua pasukan yang ditemui terbaik.

“Sebenarnya saya agak khuatir, nampaknya Terengganu dah bangkit pada aksi baru-baru ini. Saya percaya Terengganu bukan calang-calang pasukan dan Pahang sebagai juara bertahan mesti kekalkan kejuaraan,” katanya.

Selain pertemuan dua pasukan dari Pantai Timur itu, tiga lagi aksi suku akhir menyaksikan PKNS FC menentang Kedah, Kuala Lumpur bertemu FELDA United manakala skuad adik-beradik, PKNP FC dan Perak melengkapkan senarai lapan terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 11:26 PM