GUARDIOLA (kiri) kini fokus aksi EPL. FOTO/REUTERS
GUARDIOLA (kiri) kini fokus aksi EPL. FOTO/REUTERS
Reuters

PENGENDALI Manchester City Pep Guardiola berkata pasukannya akan bangkit dan berjuang untuk gelaran Liga Perdana Inggeris selepas impian menjulang empat kejuaraan berakhir secara dramatik apabila tewas kepada Tottenham Hotspur dalam Liga Juara-Juara.

City tersingkir susulan kelebihan gol di tempat lawan, apabila kemenangan 4-3 di Stadium Etihad awal pagi tadi hanya membolehkan mereka terikat 4-4 secara agregat.

Skuad Guardiola menyangka jaringan saat akhir daripada Raheem Sterling memastikan tiket ke separuh akhir tetapi ia dibatalkan selepas rujukan VAR mendapati Sergio Aguero berada di kedudukan ofsaid.

“Ia memang kejam tetapi itulah hakikatnya dan kami perlu terima,” kata Guardiola.

“Selepas 20 minit kami mendahului 3-2. Pada separuh masa kedua kami mencipta banyak peluang dan kami menjaringkan gol yang diperlukan.

“Malangnya pengakhiran buruk bagi kami jadi tahniah kepada Tottenham dan semoga berjaya pada separuh akhir,” kata jurulatih Sepanyol itu yang pasukannya turut tersingkir di tangan kelab Inggeris, Liverpool pada suku akhir musim lalu.

Guardiola berkata beliau akan terus menyokong penggunaan VAR yang turut mengesahkan gol penting Fernando Llorente buat Spurs biarpun bola disyaki terkena tangan.

Namun beliau mempertikaikan keputusan berhubung jaringan Llorente yang menurut pengadil jatuh dari pinggul pemain Sepanyol itu dan terus menerjah ke gawang,

“Saya sokong penggunaan VAR tetapi dari satu sudut jaringan Fernando Llorente mungkin terkena tangan, mungkin tidak pada pandangan pengadil,” kata beliau.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 11:48 AM