PELUMBA  TSC, Benjamin Dyball memenangi Jersi Kuning diikuti Jersi Merah milik Angus Lyon. Jersi Hijau milik  Travis McCabe  dan  Vadim Pronskiy Vadim meraih Jersi Putih. - FOTO Rosdan Wahid
PELUMBA TSC, Benjamin Dyball memenangi Jersi Kuning diikuti Jersi Merah milik Angus Lyon. Jersi Hijau milik Travis McCabe dan Vadim Pronskiy Vadim meraih Jersi Putih. - FOTO Rosdan Wahid
Azlan Muhammad Zain

PENGANJUR Le Tour de Langkawi (LTdL), Human Voyage Sdn Bhd menyifatkan penganjuran edisi ke-24 berakhir dengan kejayaan.

"Peringkat perlumbaan yang dipertandingkan agak mencabar dan kita tamatkannya dengan ‘bang’ (cemerlang). Kita sudah meletakkan tahap berbeza dalam penganjuran LTdL dari aspek hospitaliti," jelas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LTdL 2019, Datuk Ahmad Mustafa.

Selain itu menurutnya, wang kemenangan berjumlah RM816,750 terus dibayar kepada pasukan.

Perlumbaan yang menelan kos kira-kira RM20 juta bermula 6 hingga 13 Mac membabitkan 22 pasukan dilihat berlangsung dengan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Malah Ahmad menjelaskan beliau mendapat maklum balas positif dari pihak komisar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) yang turut hadir pada perlumbaan berstatus 2.HC itu.

"Malah kita merancang untuk LTdL kembali diadakan pada Februari, jika berpeluang berbincang dengan UCI pada September atau Oktober nanti bagi membolehkan ia berlangsung selepas Tour Down Under (Australia) bagi menarik pasukan Pro Tour.

"Kita ada rancangan ke Sabah dan Sarawak pada tahun depan. Logistik tidak akan menjadi isu kerana sudah banyak syarikat penerbangan berbanding dulu.

"Namun ia mungkin memakan masa sehingga 10 hari dan ia agak sukar kerana UCI lebih gemar pendekkan peringkat perlumbaan ketika ini. Malah beberapa negeri akan terlepas menjadi laluan perlumbaan".

Sabah dan Sarawak pernah menjadi tuan rumah LTdL pada 1997 dengan cadangan ke sana disuarakan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 8:09 PM