DETIK Kane (kanan) mengalami kecederaan buku lali selepas bertembung dengan Delph. — FOTO Reuters
DETIK Kane (kanan) mengalami kecederaan buku lali selepas bertembung dengan Delph. — FOTO Reuters
AFP

MUSIM ini mungkin berakhir buat Harry Kane selepas Tottenham Hotspur mendedahkan kapten England itu mengalami kecederaan “teruk” di buku lali kirinya ketika menang pada aksi Liga Juara-Juara menentang Manchester City.

Dalam satu kenyataan, Spurs turut menyatakan ujian mendapati pemain tengah Dele Alli cedera di tangan kirinya ketika aksi itu, namun dia mungkin boleh beraksi menentang pasukan yang sudah tersingkir Huddersfield Town hujung minggu ini.

“Berikutan ujian sejak dua hari lalu, kami boleh mengesahkan Harry Kane mengalami kecederaan ligamen teruk di buku lali kirinya kerana terjahan... Pemeriksaan diteruskan dan dia akan terus diuji oleh staf perubatan kami dalam beberapa minggu ini,” menurut Spurs dalam kenyataan itu.

Kane, yang pernah cedera di buku lali sama musim ini, dilihat meninggalkan stadium baharu Tottenham dengan menggunakan topang ketiak selepas cedera apabila cuba membentes Fabian Delph pada awal babak kedua.

KANE (tengah) hanya sempat beraksi selama 58 minit di Stadium Tottenham Hotspur. — FOTO AFP
KANE (tengah) hanya sempat beraksi selama 58 minit di Stadium Tottenham Hotspur. — FOTO AFP

Selepas kemenangan 1-0 itu, yang meletakkan mereka dalam posisi terbaik layak julung kali ke separuh akhir Liga Juara-Juara, jurulatih Mauricio Pochettino berkata, Kane mungkin terpaksa melupakan terus kempen semasa.

Ia pasti satu tamparan hebat buat Spurs, yang berada di tangga keempat Liga Perdana Inggeris dan bersaing dengan Chelsea, Arsenal dan Manchester United bagi tempat ke Liga Juara-Juara musim depan.

Kane menjaringkan 17 gol dalam liga musim ini selepas muncul penjaring terbanyak Piala Dunia di Russia tahun lalu.

Pemain berusia 25 tahun itu juga mungkin terlepas usaha England untuk menjuarai Liga Negara Eropah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2019 @ 10:48 AM