Pochettino (kanan) dan Kane ketika aksi Liga Perdana yang lalu. FOTO AFP.
Pochettino (kanan) dan Kane ketika aksi Liga Perdana yang lalu. FOTO AFP.
Agensi

PENYERANG Tottenham, Harry Kane berkata dia “sudah sedia beraksi” selepas pulih daripada kecederaan yang dialami tepat pada masanya untuk berdepan final Liga Juara-Juara menentang Liverpool, awal pagi Ahad ini.

Kane, 25, mengalami kecederaan buku lali ketika aksi suku akhir pertama menentang Manchester City pada 9 April lalu.

Pengurus Spurs, Mauricio Pochettino pada mulanya bimbang akan ketiadaan kapten England itu pada baki saingan musim ini.

“Saya berasa bagus. Setakat ini tidak ada apa-apa masalah,” kata Kane.

“Saya mula merasa untuk kembali semula bersama pasukan pada hujung minggu lepas. Minggu ini adalah memastikan kecergasan berada pada tahap paling tinggi sebolehnya.

“Kemudian bergantung kepada pengurus. Pengurus akan menilainya dan mengambil keputusan sama ada saya sudah bersedia diturunkan atau tidak, namun setakat ini saya berasa sangat bagus dan sudah bersedia.”

Kane menjaringkan 24 gol dalam semua kejohanan untuk Tottenham musim ini, di sebalik terlepas aksi selama enam minggu sekitar Januari dan Februari berikutan mengalami kecederaan buku lali yang sama.

Kane menjalani latihan bersama pasukan. FOTO EPA.
Kane menjalani latihan bersama pasukan. FOTO EPA.

Dia juga tersisih hampir sebulan bulan lalu dengan kecederaan hampir sama dan kecederaan juga menyebabkan dia tidak dapat beraksi antara empat dan enam minggu ketika kempen 2016-17.

Ditanya sama ada Kane akan beraksi menentang Liverpool di Madrid, Pochettino berkata : “Saya tidak boleh kata dia 100 peratus, boleh beraksi atau berada di bangku simpanan atau tidak, namun kami gembira dan positif terhadap perkembangannya.

“Ia amat penting untuk dia berada pada tahap terbaik dan kita akan lihat apa yang berlaku. Saya sangat positif mengenai situasi pemain itu. Kami masih mempunyai masa untuk menilai kemampuannya.”

Warga Argentina itu berkata dia mungkin antara “orang pertama yang gembira” jika Kane melepasi tahap kecergasan, namun dia tetapi memberi “keutamaan kepada pasukan”.

“Bola sepak membabitkan semangat kerjasama berpasukan, persembahan menyeluruh dan nasib. Lihat bagaimana kami melangkah ke final. Apabila Harry mengalami kecederaan pada suku akhir dan lihat apa yang berlaku,” kata Pochettino.

“Ia tidak bermakna dia bukan pemain terbaik dalam pasukan. Pada saya, dia adalah antara penyerang terbaik di dunia - dalam kelompok tiga teratas.

“Kami perlu menewaskan Liverpool dan jika dia dapat beraksi adalah lebih baik, namun bukan bergantung kepada seorang pemain sebaliknya semua pemain dalam pasukan.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 6:46 PM