KANE gigih berlatih bersama pasukannya menjelang aksi final di Stadium Wanda Metropolitano, semalam. — FOTO EPA
KANE gigih berlatih bersama pasukannya menjelang aksi final di Stadium Wanda Metropolitano, semalam. — FOTO EPA
AFP

MAURICIO Pochettino akan menunggu hingga saat akhir untuk memutuskan sama ada penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane cukup cergas untuk berdepan Liverpool pada final Liga Juara-Juara, awal pagi esok.

Kane sebelum ini menyatakan dia sedia untuk turun dalam kesebelasan utama di Madrid, sekalipun tidak bermain sejak koyak ligamen buku lali pada suku akhir menentang Manchester City bulan lalu.

Ditanya pada sidang akhbar awal pagi tadi sama ada Kane akan bermain, Pochettino berkata: “Saya tidak tahu. Kami ada baki satu sesi latihan dan kemudian kami sedia untuk membuat keputusan.”

Jika Pochettino memilih Kane, ia satu rangsangan kuat buat Spurs namun mereka layak tanpanya selepas Lucas Moura meledak hatrik menakjubkan untuk menyingkirkan Ajax pada separuh akhir kedua.

POCHETTINO (kanan) bersama penolong pengurus Jesus Perez memantau latihan di Madrid, semalam. — FOTO Reuters
POCHETTINO (kanan) bersama penolong pengurus Jesus Perez memantau latihan di Madrid, semalam. — FOTO Reuters

“Tidak mudah untuk membuat keputusan esok,” kata Pochettino.

“Kami ada semua maklumat dan kami tahu setiap butiran mengenainya. Untuk cuba menang, anda hanya boleh menggunakan 11 pemain, itulah situasi paling menyakitkan.”

Tottenham layak ke final pertama mereka sama ada Piala Eropah atau Liga Juara-Juara, manakala Liverpool membida memenangi pertandingan itu buat kali keenam selepas tewas kepada Real Madrid pada final tahun lalu.

Kemaraan Spurs lebih mengejutkan selepas aksi dramatik, gol lewat menentang Manchester City dan Ajax meletakkan mereka di ambang merebut trofi itu, sekalipun tidak membeli pemain dalam dua jendela perpindahan terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2019 @ 8:45 AM