SOLSKJAER (kanan) harap United bangkit di Nou Camp. -Foto Reuters
SOLSKJAER (kanan) harap United bangkit di Nou Camp. -Foto Reuters
qReuters

Pengendali Manchester United Ole Gunnar Solskjaer menyedari keupayaan melakukan kebangkitan dalam Liga Juara-Juara dan berharap skuadnya dapat mengulangi kejayaan seperti menewaskan Paris Saint Germain di laman Barcelona Nou Camp minggu depan.

United yang tewas 0-1 kepada Barca di Old Traford pada suku akhir pertama awal pagi tadi, tewas di laman sendiri kepada PSG 0-2 sebelum bangkit di ibu negara Perancis itu.

Keputusan itu memberikan pengendali kelahiran Norway itu kepercayaan bahawa pasukannya mampu mara ke separuh akhir meskipun menyedari Barca tidak pernah tewas di laman sendiri dalam 30 perlawanan Liga Juara-Juara sejak 2013.

“Aksi ke atas PSG memberi kami keyakinan bahawa kami boleh melakukannya, tetapi kami menentang pasukan pilihan,” kata Solskjaer yang pernah menjaringkan gol kemenangan United pada saat akhir ketika menewaskan Bayern Munich pada final 1999 di Nou Camp, salah satu daripada kebangkitan paling diingati dalam kejohanan itu.

“Ia akan menjadi pencapaian lebih besar kerana dengan sejarah yang dimiliki Barcelona, mereka tidak pernah tewas di laman sendiri tetapi kami boleh melakukannya. Tiada keraguan.”

Biarpun Marcus Rashford atau Romelu Lukaku gagal memberi ancaman terhadap penjaga gol Barca Marc-Andre ter Stegen awal pagi tadi, Solskjaer yakin penyerang United mampu merebut peluang di Sepanyol.

“Kami mampu menjaringkan gol, baik menerusi Rom atau Rash atau siapa saja yang bermain bahawa kami perlu mencipta peluang untuk mereka.

“Kami perlu merebut peluang. Anda perlu lebih efisyen di sana. Kami sedar kami tidak mampu mencipta banyak peluang. Kami perlu merebut peluang yang ada.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 8:28 AM