LENGLET (kiri) mengekang asakan penyerang Lyon, Memphis Depay pada aksi pertama, pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. - FOTO EPA
LENGLET (kiri) mengekang asakan penyerang Lyon, Memphis Depay pada aksi pertama, pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. - FOTO EPA
Reuters

BARCELONA gagal meledak gol sekalipun melakukan 25 percubaan ketika seri tanpa jaringan di Olympique Lyonnais pada aksi pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara di Lyon, awal pagi tadi.

Hanya lima percubaan pelawat menemui sasaran namun Lionel Messi, Ousmane Dembele dan Luis Suarez gagal menewaskan penjaga gol Anthony Lopes di Stadium Groupama.

“Kami hadir ke sini untuk cuba dan mempamerkan persembahan bagus tapi kami tak dapat menjaringkan gol. Dua puluh lima percubaan tidaklah teruk sangat, anda perlu menjaringkan gol tapi apabila ada banyak percubaan bermakna anda bermain dengan baik dan itulah yang kami lakukan,” kata pertahanan Barca, Clement Lenglet.

“Cuma keyakinan kami agak mengendur tapi saya pasti kami akan menjaringkan gol di Nou Camp (13 Mac).”

SUAREZ (kiri) gagal menewaskan Lopes di Lyon, awal pagi tadi. Suarez kini tidak menjaringkan gol dalam tempoh 25 jam bagi aksi Liga Juara-Juara. - FOTO AFP
SUAREZ (kiri) gagal menewaskan Lopes di Lyon, awal pagi tadi. Suarez kini tidak menjaringkan gol dalam tempoh 25 jam bagi aksi Liga Juara-Juara. - FOTO AFP

Penyerang Uruguay, Suarez amat mengecewakan apabila gagal meledak gol dalam tempoh hampir 25 jam bagi aksi Liga Juara-Juara.

“Tunggulah apa yang akan berlaku di Nou Camp tapi memang bagus tidak melepaskan sebarang gol di laman lawan. Lyon bermain baik tapi penjaga gol mereka amat cemerlang,” kata Lenglet.

Jurulatih Barca, Ernesto Valverde berkata: “Saya rasa kami bermain dengan bagus. Saya fikir kami berhak meraih keputusan lebih baik dan patut menang. Jelas ia bukan malam kami.

“Kami kuat di laman sendiri tapi saya tak nafikan keputusan seri 0-0 di gelanggang lawan satu keputusan berbahaya bagi aksi pertama. Kami amat memerlukan sokongan padu penyokong sendiri di Nou Camp - semuanya masih terbuka.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 8:25 AM