POCHETTINO beri motivasi terbaik kepada anak buah berdepan Barca. FOTO/AFP
POCHETTINO beri motivasi terbaik kepada anak buah berdepan Barca. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Menjelang aksi penting Tottenham menentang Barcelona di laman sendiri, Mauricio Pochettino mengimbau zaman kegemilangan kariernya untuk menaikkan semangat pasukan dalam kempen Liga Juara-Juara, awal pagi Khamis ini.

Pasukan Pchettino tidak mampu untuk terus mencatatkan kekalahan berdepan juara Sepanyol itu selepas kecewa apabila mereka bolos dua gol pada lewat perlawanan ketika tumbang 1-2 kepada Inter Milan dalam saingan Kumpulan B.

Kekalahan kepada Lionel Messi dan juga rakan pasukannya di Wembley nanti bakal menyebabkan Tottenham berdepan laluan sukar untuk layak ke peringkat kalah mati, dalam baki empat perlawanan.

Pada Februari 2009, Pochettino memperoleh kemenangan pertamanya dalam menguruskan kelab Espanyol apabila mengejutkan pasukan Pep Guardiola, Barca di Camp Nou.

Ia adalah kejayaan pertama Espanyol di laman lawan sejak 27 tahun dan kini Pochettino masih tidak mempercayai apa yang berlaku.

“Saya tak tahu bagaimana kami lakukannya. Semua orang berkata matilah Espanyol dan tidak ada peluang,” katanya.

“Ia adalah kejayaan istimewa dan memori yang sukar dipercayai.”

Dalam sembilan pertemuan tempatan menentang Barca, pasukan bimbingan Pochettino hanya memenangi satu perlawanan, dengan lima lagi tewas dan tiga kali seri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 12:56 PM