Jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde. FOTO AFP.
Jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde. FOTO AFP.
Reuters

JURULATIH Barcelona, Ernesto Valverde berkata, pasukannya akan lebih berwaspada menentang Lyon pada perlawanan kedua kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara, pagi esok selepas penyingkiran Real Madrid dan Paris St Germain (PSG).

Perlawanan pertama di Lyon berakhir tanpa jaringan dan Barca perlu menewaskan wakil Perancis itu di Nou Camp, untuk melangkah ke suku akhir kejohanan elit Eropah yang kali terakhir dijulang pada 2015 itu.

Kelab dari Catalan itu dilabel sebagai pasukan pilihan untuk menang dan memiliki rekod menakjubkan di gelanggang sendiri dalam kempen Liga Juara-Juara dan kekal kebal di Nou Camp sejak kali terakhir tewas kepada Bayern Munich pada 2013.

Namun Valverde berkata Barca perlu lebih berhati-hati selepas melihat Real Madrid tewas, 4-1 di gelanggang sendiri kepada Ajax dan PSG kalah 3-1 di Paris kepada Manchester United.

“Hakikatnya pasukan seperti Real Madrid dan PSG tersingkir adalah penting dan kami perlu merasa bimbang mengenai perlawanan ini dan kami tidak akan memandang rendah Lyon,” kata Valverde.

“Mereka mempunyai kekuatan tersendiri, terutama ketika menyerang dan barisan depan yang pantas jadi justeru saya pasti mereka akan memanfaatkan kelebihan itu sepenuhnya.

“Mereka kebiasaannya mengambil inisiatif dalam permainan, mereka tahu mengenai kelebihan gol di tempat lawan dan mereka akan menggunakannya.

Lyon yang ketika ini berada pada kedudukan ketiga Ligue 1 namun mencipta kejutan dengan menewaskan Manchester City pada aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara memperoleh lonjakan semangat dengan kehadiran penyerang Nabil Fekir yang terlepas aksi pertama susulan penggantungan. -

Pemain sayap Barca, Ousmane Dembele mengalami kecederaan hamsting ketika pasukan itu mencatat kemenangan dalam perlawanan menentang Rayo Vallecano, 3-1, Sabtu lalu, namun Valverde tidak menyenaraikan pemain itu dalam pasukan esok.

“Kami akan lihat bagaimana keadaannya dan membuat keputusan kemudian,” kata Valverde. “Ia adalah perlawanan penting tetapi kita tidak mahu mengambil sebarang risiko.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 1:20 PM