UNAI Emery.
UNAI Emery.
AFP

Barcelona: Jurulatih PSG Unai Emery (gambar) bergelut mempertahankan jawatannya selepas pasukannya dibelasah 6-1 oleh Barcelona pada Liga Juara-Juara dalam apa yang dianggap sebagai “mimpi ngeri” dan sesuatu yang “memalukan.”

Pengendali dari Sepanyol itu dipuji sebagai genius taktikal bulan lalu selepas juara Perancis itu mengejutkan Barca 4-0 di Paris pada aksi pertama, pusingan 16 terakhir.

Namun awal pagi semalam, di depan lebih 100,000 di Nou Camp, PSG melepaskan tiga gol lewat dalam tujuh minit yang menakjubkan apabila Barcelona melengkapkan kebangkitan terhebat dalam sejarah pertandingan itu, menang 6-5 secara agregat.

“Apabila anda menang 4-0, kemudian tewas 1-6, ia amat sukar untuk diterima,” kata Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi dari Qatar yang melabur berjuta dolar di kelab Perancis itu.

“Setiap orang tahu suku akhir adalah objektifnya dan selepas menang aksi pertama 4-0, sasaran itu hampir menjadi kenyataan.

“Ini satu mimpi ngeri buat setiap orang. Adakah Unai Emery masih boleh dipercayai? Ini bukan masanya bercakap mengenai perkara ini. Selepas perlawanan itu, kami terkejut dan kecewa.”

Akhbar sukan berpengaruh Perancis, L’Equipe pantas menyatakan implikasi menjadi pasukan belasahan Eropah.

“Keseluruhan projek PSG terjejas dengan penghinaan ini,” katanya.

Emery bagaimanapun berkata, PSG dinafikan oleh keputusan pengadil Jerman, Deniz Aytekin yang menghadiahkan dua sepakan penalti kepada Barcelona, kedua-duanya pada babak kedua.

“Hakikatnya kami mensia-siakan satu peluang keemasan dan kami sedar mengenainya. Pada babak pertama lebih kepada kesilapan kami bukannya mereka bermain bagus,” kata Emery.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2017 @ 8:02 AM