Penyerang Belgium, Eden Hazard (kanan) dikawal pemain Cyprus Anthony Georgiou dalam kelayakan Euro 2020. FOTO AFP.
Penyerang Belgium, Eden Hazard (kanan) dikawal pemain Cyprus Anthony Georgiou dalam kelayakan Euro 2020. FOTO AFP.
AFP

KAPTEN, Eden Hazard mengharungi penampilan ke-100 bersama skuad Belgium ketika pasukan separuh akhir Piala Dunia itu mencatat kemenangan bergaya 2-0 ke atas Cyprus dalam kelayakan Euro 2020, awal pagi ini.

Michy Batshuayi yang melakukan gerakan untuk memperdayakan pertahanan lawan di dalam ruang kotak penalti sebelum Hazard bijak menyambar bola untuk menyempurnakan jaringan pembukaan pada minit ke-10 permainan.

Adik kepada Eden, Thorgan Hazard mengumpan bola di dalam ruang kotak penalti lawan untuk Batshuayi menewaskan penjaga gol Cyprus, Urko Pardo untuk gol kedua pada minit ke-18

Penjaga gawang Real Madrid, Thibaut Courtois langsung tidak di uji di gawang pasukan Belgium ketika pasukan itu memberi tekanan pada babak pertama dan menguasai sepenuhnya permainan pada separuh masa kedua perlawanan.

Konstantinos Laifis, yang beraksi dengan kelab Standard Liege di Belgium, hampir menggandakan jaringan selepas Belgium memperolehi sepakan percuma namun tandukannya tersasar.

Cyprus menewaskan pasukan tercorot San Marino, 5-0 minggu lalu, namun pasukan yang kini menghuni ranking nombor satu Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terlalu kuat buat negara kepulauan itu.

Pasukan itu juga kurang bernasib baik apabila di undi bersama Belgium dalam kelayakan Euro dan Piala Dunia tahun lalu.

Pemain Scotland Ryan Fraser diasak pemain San Marino, Manuel Battistini pada aksi kelayakan Euro 2020. FOTO Reuters.
Pemain Scotland Ryan Fraser diasak pemain San Marino, Manuel Battistini pada aksi kelayakan Euro 2020. FOTO Reuters.

Sementara itu, dalam satu lagi aksi Kumpulan I, Scotland mencatat kemenangan pertama 2-0 ke atas San Marino, di Stadium San Marino.

Skuad yang dimalukan Kazakhstan, 3-0 minggu lalu, memperolehi jaringan menerusi Kenny McLean seawal minit keempat dan Johnny Russell (m74).

Terdahulu dalam satu lagi aksi kumpulan sama, Russia membelasah Kazakhstan 4-0.

Denis Cheryshev menghasilkan dua gol pada minit ke-19 dan masa kecederaan babak pertama disusuli jaringan Artem Dzyuba minit ke-52 dan gol sendiri Abzal Beysebekov minit ke-62.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2019 @ 8:59 AM