Hafizh dapat memperbaiki catatan masa pada sesi kelayakan di Litar Antarabangsa Losail, Qatar.
Hafizh dapat memperbaiki catatan masa pada sesi kelayakan di Litar Antarabangsa Losail, Qatar.
Saiful Affendy Sapran


HAFIZH Syahrin Abdullah perlu bekerja keras pada perlumbaan pusingan pertama Kejohanan Motosikal Dunia di Grand Prix Qatar awal pagi esok apabila bakal bermula di petak ke-22.

Pelumba Red Bull KTM Tech3 itu, sekadar mencatat masa terpantas 1 minit 55.937 saat (s) pada sesi kelayakan awal pagi tadi di Litar Antarabangsa Losail, Qatar.

"Saya dapat memperbaiki catatan masa tetapi tidak untuk kedudukan semasa. Setakat ini kami masih tidak pasti apakah tayar yang sesuai untuk digunakan pada hari perlumbaan.

"Sama-sama kita saksikan apa yang kami boleh lakukan pada perlumbaan nanti. Saya hanya mahu berasa seronok ketika berlumba dan cuba mempelajari perkara baru sebanyak mungkin," katanya.

Aksi Hafizh bersama jentera motosikalnya di Qatar. FOTO Ihsan Red Bull KTM Tech3.
Aksi Hafizh bersama jentera motosikalnya di Qatar. FOTO Ihsan Red Bull KTM Tech3.

Seorang lagi pelumba negara, Khairul Idham Pawi beraksi bersama Petronas Sprinta Racing juga terpaksa bermula di kelompok belakang pada saingan Moto2.

Khairul atau Super KIP sekadar mencatat masa ke-21 terpantas 1:59.931s sekali gus bakal bermula dibarisan ketujuh. Namun dua pelumba MotoGP dari pasukan Malaysia, Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli mempamer tunggangan cemerlang di sesi kelayakan.

Quartararo mencatat masa 1:53.946s untuk bermula di petak kelima manakala Morbidelli melakukan catatan 1:54.236s sekali gus menyambar petak kelapan.

Satu lagi pasukan Malaysia yang beraksi di Moto2, ONEXOX TKKR SAG Team turut meraih keputusan cemerlang di sesi kelayakan.

Pelumba mereka, Remy Gardner bakal bermula di petak kelima manakala Tetsuta Nagashima ke-14.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2019 @ 11:31 AM