Pelumba MotoGP dari pasukan Petronas Yamaha Sepang Team, Fabio Quartararo ketika sesi latihan pada MotoGP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). FOTO Syarafiq Abd Samad
Pelumba MotoGP dari pasukan Petronas Yamaha Sepang Team, Fabio Quartararo ketika sesi latihan pada MotoGP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). FOTO Syarafiq Abd Samad
Saiful Affendy Sapran


PELUMBA MotoGP Petronas Yamaha SRT, Fabio Quartararo mengungguli sesi kelayakan Grand Prix (GP) Malaysia hari ini apabila mencatat masa terpantas 1 minit 58.303 saat (s) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sekali gus bakal bermula di petak pertama perlumbaan esok.

Walaupun masih belum pulih daripada kecederaan pergelangan kaki, sensasi Perancis tetap mampu mempamerkan tunggangan terbaik, mengulangi kecemerlangannya pada sesi latihan bebas semalam.

Pelumba Monster Energy Yamaha MotoGP, Maverick Vinales pula menyambar petak kedua apabila hanya ketinggalan 0.103s di belakang catatan Quartararo.

Manakala rakan sepasukan Quartararo, Franco Morbidelli ketiga selepas mencatatkan masa 1'58.432s.

Pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah yang beraksi bersama Red Bull KTM Tech3 pula gagal menyinar apabila sekadar mencatat masa ke-20 teratas sekali gus bakal bermula di petak paling belakang.

Seorang lagi pelumba negara yang beraksi di saingan Moto2, Adam Norrodin pula bakal bermula di petak ke-31 dengan Alex Marquez (Marc VDS) mengungguli petak pertama.

Sesi kelayakan Moto3 pula diungguli oleh Marcos Ramirez dari pasukan Leopard Racing.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 November 2019 @ 4:27 PM