Pemain PKNS FC, Romel Oswaldo meraikan gol pertama ketika menentang FELDA United FC di Stadium Shah Alam. FOTO NSTP/SAIRIEN NAFIS/BERNAMA
Pemain PKNS FC, Romel Oswaldo meraikan gol pertama ketika menentang FELDA United FC di Stadium Shah Alam. FOTO NSTP/SAIRIEN NAFIS/BERNAMA
Syazwan Msar


Shah Alam: Skuad bimbangan K Rajagobal meneruskan momentum kemenangan apabila mudah menundukkan FELDA United dengan jaringan 2-0 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Gabungan pemain import Kpah Sean Sherman, Romel Oswaldo Morales dan penyerang berasal dari Kemboja Vathanaka Chan jelas menjadi duri dalam daging buat skuad FELDA apabila bijak mengatur serangan sekali gus membawa pulang tiga mata penting untuk PKNS.

Babak pertama perlawanan menyaksikan tuan rumah lebih banyak melancarkan serangan ke kubu lawan dan hampir membuka tirai jaringan menerusi Kpah pada minit ke lapan namun rembatannya sedikit tersasar.

Tuan rumah sekali lagi terlepas peluang mencipta jaringan pertama apabila tendangan percuma Gabriel Miguel m-21 berjaya ditepis penjaga gol FELDA, Norazlan Razali.

Gol yang dicari tuan rumah akhirnya muncul m-22 menerusi Romel yang bijak menyudahkan peluang dihadapan pintu gol lawan untuk kedudukan 1-0.

Skuad kendalian Mohd Nidzam Jamil bagaikan hilang arah apabila terus melakukan kesilapan hingga membenarkan PKNS menjaringkan gol kedua menerusi Tamirlan Kozubaev pada masa tambahan separuh masa pertama.

Vathanaka hampir menambah derita FELDA namun sepakan percumanya terkena palang sekali gus memberikan sedikit kelegaan kepada pasukan pelawat.

Separuh masa kedua menyaksikan FELDA yang sudah ‘panas’ mula mengatur serangan ke kubu lawan namun penyudah yang tumpul menyaksikan The Fighter gagal mendapatkan gol.

Peluang terbaik FELDA hadir pada minit 80 apabila tandukan pertahanan import Masaki Watanabe dilhat seakan sudah menerjah gol namun berjaya ditepis penjaga gol PKNS Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin.

Walaupun, FELDA membuat tukaran beberapa pemain namun terpaksa akur gagal membawa pulang sekurangnya satu mata apabila kedudukan 2-0 kekal hingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2019 @ 12:13 AM