Adam Norrodin ketika beraksi di Litar Antarabangsa Sepang. FOTO File NSTP
Adam Norrodin ketika beraksi di Litar Antarabangsa Sepang. FOTO File NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: "Sukar untuk menggambarkan dengan kata-kata perasaan saya apabila dapat beraksi kembali di Kejohanan Motosikal Dunia (MotoGP)."

Demikian perasaan teruja Adam Norrodin yang diberi peluang kembali beraksi di Moto2 bersama pasukan Petronas Sprinta Racing sebagai pengganti Jake Dixon pada perlumbaan Grand Prix (GP) Britain hujung minggu ini.

Jelas Adam yang pernah beraksi di saingan Moto3 sebelum ini, sudah tentu sebagai seorang pelumba dia berasa gembira kerana diberi peluang keemasan itu.

Dia juga berterima kasih kepada prinsipal pasukan, Datuk Razlan Razali serta pasukan yang memberi peluang kepadanya beraksi hujung minggu ini.

"Ia satu pengiktirafan, saya akan melakukan yang terbaik dan sangat teruja dapat beraksi bersama jentera Moto2 di GP Britain minggu ini. Saya dapat bekerjasama dengan pasukan Petronas Sprinta Racing semula," katanya.

Adam ketika ini memberi tumpuan kepada Kejohanan CEV FIM yang menyaksikannya menghuni tangga kelima dalam saingan Moto2 selepas meraih tiga podium.

Dia pernah menunggang jentera Moto2 bersama pasukan sama, juga sebagai pelumba gantian pada baki enam pusingan terakhir musim 2019.

Dixon mengosongkan tempatnya susulan dinaikkan ke kelas perdana bersama pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing menggantikan Cal Crutchlow yang dipanggil bagi menggantikan Maverick Vinales dalam pasukan Yamaha.

Crutchlow sebelum ini menggantikan pelumba Itali, Franco Morbidelli yang semakin pulih daripada pembedahan lutut kiri pada hujung Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 11:27 PM