Kuala Lumpur: Pelumba Drive M7 SIC Racing Team, Adam Norrodin (kanan) mengakui agak gementar menjelang perlumbaan Kejohanan Dunia (MotoGP) yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini namun pengalaman menaiki podium tiga kali di Asian Talent Cup bakal membantunya menamatkan aksi di kedudukan terbaik.

Menurut pelumba Moto3 negara itu, dia akan melakukan persiapan sebaik mungkin menjelang perlumbaan di SIC dan mahu mengekalkan aksi konsisten dicatatkan di Jepun dan Australia baru-baru ini.

“Pada dua perlumbaan itu baru-baru ini kami sudah menunjukkan peningkatan terutama selepas menemui pelarasan terbaik pada jentera kami. Ini akan membantu saya beraksi cemerlang di laman sendiri,” katanya dalam sidang media semalam.

Jelasnya, pelarasan jentera yang baik bakal membantunya untuk mempertingkatkan prestasi di SIC dan mengenai cuaca pula dia terima dengan hati terbuka apa saja keadaan sekali pun kerana ia adalah kuasa Tuhan.

“Saya memang ada sasaran tersendiri menjelang perlumbaan di SIC tapi belum mahu mengumumkannya selagi belum berada di litar tapi saya berjanji untuk memberikan yang terbaik di laman sendiri.

“Apa yang saya harapkan ialah doa dari semua penyokong agar kami semua berlumba dengan keadaan selamat dan mencatatkan keputusan terbaik,” kata pelumba berusia 18 tahun kelahiran Johor Bahru itu.

Ditanya mengenai perbandingannya bersama seorang lagi pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi (Honda Team Asia), Adam mengakui dia menganggap perkara itu biasa saja.

“Bagi saya sama saja dengan Khairul Idham, kadang-kadang kami bersaing sesama sendiri tetapi itu bukanlah sasaran kami, kerana kami mahu pergi lagi jauh dalam perlumbaan motosikal.

“Begitu juga dengan jentera dalam perlumbaan Moto3, semua hampir sama dan ada kekurangan serta kelebihan masing-masing, cuma sekarang saya gembira dengan pelarasan baru jentera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2016 @ 11:10 AM