Figueroa tidak mahu JDT gentar. FOTO NSTP/BERNAMA
Figueroa tidak mahu JDT gentar. FOTO NSTP/BERNAMA
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak perlu gentar sebaliknya memberi sepenuh tumpuan apabila memulakan kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) menentang juara bertahan, Kashima Antlers pada aksi Kumpulan E di Stadium Bolasepak Khasima, Ibaraki, Jepun, esok.

Walaupun menentang pasukan yang berstatus elit dalam kancah bola sepak Asia, skuad Harimau Selatan sepatutnya berasa bangga selepas muncul satu-satunya pasukan di Malaysia yang layak secara merit ke pentas kelab-kelab Asia selepas muncul juara Liga Super musim lalu.

Apa pun bagi pengurus dan juga ketua jurulatih JDT, Luciano Figueroa tampak ingin melihat kesebelasan utama yang bakal diturunkan pada aksi pertama nanti mempamerkan corak permainan konsisten tatkala beraksi di pentas saingan kelab-kelab Asia berprestij dan tidak terlalu menghormati pasukan lawan.

"Kami sedar saingan ACL adalah pertandingan yang berprestij.

Kami akan turun dengan cuba beraksi dengan permainan yang terbaik dan menurunkan barisan pertahanan mantap kerana kita tahu Khasima Antlers dibarisi pemain berkualiti.

"Tidak dinafikan Kashima Antlers berada di tahap tinggi dan pemain mereka juga berpengalaman di peringkat antarabangsa.

Oleh itu saya jangkakan ia akan menjadi perlawanan yang sukar dan harus fokus melebihi 100 peratus," katanya.

Jika itu yang yang dirancang Figueroa untuk mengukuhkan benteng pertahanan JDT, barisan pemain yang akan mengemudi posisi itu teruratam Mauricio Nascimento perlu meningkatkan lagi kualiti permainan dan sentiasa konsisten bagi mengelak pemain lawan mudah menembusi benteng.

Agak merisaukan selepas lima aksi saingan Liga Super, benteng JDT sudah melepaskan enam gol tatkala Figueroa menggunakan gandingan Nascimento-Adam Nor Azlin malah turut meletak Aidil Zafuan Abd Radzak dan terbaru menyenaraikan Kiko Insa mengemudi pertahanan.

Barisan serangan pastinya menaruh sandaran kepada Diogo Luis Santo yang merupakan satu-satunya pemain berpengalaman beraksi di pentas ACL sejak 2015 hingga 2018 ketika bersama kelab dari Thailand, Buriram United dan turut menjaringkan 13 gol.

Oleh itu, pengalaman Luis Santo mampu mengudang gerun buat benteng Kashima Antlers sambil kelibat Gonzalo Cabrera dan Safawi Rasid akan menyerlah dalam perlawanan itu nanti untuk cuba mengintai peluang menjaringkan gol.

Jika JDT mampu bertahan dengan keputusan seri 0-0 sehingga tamat babak pertama, ia merupakan satu ‘kemenangan' yang pasti menaikkan moral pemain Harimau Selatan untuk berusaha memburu gol atau cuba mencari satu mata tatkala beraksi di tempat lawan.

Namun semuanya terserah kepada setiap pemain JDT yang bakal diturunkan dan tidak kekok apabila beraksi menentang kelab elit dari Negara Matahari Terbit sebaliknya bermain tanpa tekanan dan melupakan halangan cuaca sejuk yang akan menjejaskan konsentrasi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 3:52 PM