FIGUEROA perlu bijak catur strategi hadapi Gyeongnam FC.
FIGUEROA perlu bijak catur strategi hadapi Gyeongnam FC.
Rizar Mohd Noor

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) belum pasti menurunkan barisan kedua atau mengekalkan barisan pemain utama apabila berdepan Gyeongnam FC pada aksi terakhir Kumpulan E Liga Juara-Juara Asia di Pusat Bolasepak Changwon, Korea Selatan, malam esok.

Segalanya terserah kepada perancangan barisan kejurulatihan JDT diketuai Luciano Figueroa tatkala kesemua barisan skuad Harimau Selatan yang kini sudah berada di Korea kecuali Natxo Insa yang masih dibelenggu kecederaan.

Yang pasti Figueroa dan Benjamin Mora harus bijak menyenaraikan kesebelasan utama untuk menentang skuad kendalian Kim Jong-boo memandangkan selepas aksi ACL, JDT akan berdepan tugas mencabar apabila melayani kunjungan Kedah dalam aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Ahad ini.

Taktikal yang bijak perlu ditampilkan bagi mengelak JDT berdepan situasi dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran memandangkan pintu ke saingan pusingan 16 pasukan terbaik walaupun tampak berpeluang tetapi samar, justeru sewajarnya memberi sepenuh tumpuan untuk menentang skuad Lang Merah.

Ketika ini, JDT menghuni tangga terbawah Kumpulan E selepas hanya mengumpul empat hasil kemenangan ke atas juara bertahan, Kashima Antlers 1-0 dan keputusan seri menentang Gyeongnam FC dan mata kedua-dua perlawanan itu diraih ketika JDT beraksi di laman sendiri.

Gyeongnam FC berada di tangga ketiga selepas mengumpul lima mata manakala Kashima Antlers di tangga kedua dengan tujuh mata dan Shandong Luneng FC yang sudah layak ke pusingan seterusnya mengumpul 11 mata.

Perebutan untuk satu lagi slot ke pusingan seterusnya membabitkan Kashima Antlers, Gyeongnam FC dan JDT namun juara Liga Super Malaysia lima musim berturut-turut harus menang besar ke atas Gyeongnam FC manakala Kashima Antlers tewas dengan jaringan yang agak besar.

Apapun ia tampak mustahil memandangkan Gyeongnam FC pasti turun untuk mencari kemenangan ke atas JDT selepas hanya mampu seri 1-1 pada aksi 12 Mac lalu dan Kashima Antlers semestinya mahu bangkit untuk memburu slot ke pusingan seterusnya bagi menjaga reputasi selaku juara bertahan.

Apa jua perancangan JDT ia harus seimbang bukan sahaja mencari kemenangan ke atas Gyeongnam FC sebaliknya pemain yang akan diturunkan perlu mengelak daripada mengalami kecederaan tatkala aksi menentang Kedah merupakan perlawanan penting buat skuad Harimau Selatan.

Jika menang ia pasti bonus buat JDT tetapi agak sukar untuk cipta kemenangan besar namun ia sekurang-kurang menaikkan lagi motivasi pemain berdepan Kedah dan jika tewas anggaplah ia pengalaman paling manis beraksi menentang kelab elit dari Asia dan menjadi pendokong semangat melayani kunjungan Lang Merah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 8:14 PM