JOHOR BAHRU 09 MEI 2019. Pemain JDT, Muhd Syafiq Ahmad ketika perlawanan Kumpulan E Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2019 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, Johor Bahru. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
JOHOR BAHRU 09 MEI 2019. Pemain JDT, Muhd Syafiq Ahmad ketika perlawanan Kumpulan E Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2019 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, Johor Bahru. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Rizar Mohd Noor


PENYERANG Johor Darul Ta'zim (JDT), Syafiq Ahmad menganggap tuah menyebelahi dirinya selepas jaringan tunggalnya membantu pasukan itu mencipta sejarah menewaskan juara bertahan, Kashima Antlers 1-0 dalam aksi Kumpulan E Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu berkata, gol yang dijaringkannya adalah hasil kerjasama berpasukan dan tanpa mereka sudah tentu agak sukar untuk mencipta jaringan tatkala JDT menentang pasukan yang hebat di rantau Asia dan juga juara bertahan.

Dia yang dipilih selaku pemain terbaik perlawanan itu menegaskan amanah yang diberikan oleh barisan kejurulatihan untuk turun beraksi pastinya ingin dibalas dengan persembahan terbaik walaupun sedar dirinya agak kerdil tatkala bersaing dengan pemain pertahanan Kashima Antlers yang dibarisi pemain berkualiti.

"Kami turun tanpa kelibat Diogo (Luis Santo) dan sepanjang latihan menjelang aksi ACL saya bekerja keras untuk menyerlah dalam perlawanan itu. Syukur kepada Allah apa yang saya hajati untuk bantu pasukan terhasil.

"Apabila bercakap mengenai penyerang, sudah tentu ramai yang mahu lihat penyerang import. Tapi apabila tiada Diogo ia memberi ruang kepada saya mengambil peluang beraksi dengan sepenuh hati dan mahu membuktikan penyerang tempatan juga mampu menyerlah.

"Yang penting dalam permainan itu, kudrat saya membantu JDT dan sentiasa beri tekanan kepada benteng lawan malah saya akui berpuas hati dengan persembahan pada aksi itu walaupun tidak menghabiskan perlawanan kerana dikeluarkan pada hujung babak kedua," katanya.

Ditanya mengenai jaringan tunggal yang dihasilkan pada miniit ke-69 tatkala ramai yang menganggap JDT akan berdepan kesukaran untuk meraih kemenangan apabila menentang juara bertahan dalam saingan Kumpulan E, Syafiq menegaskan dalam bolasepak jika ada kesungguhan tidak mustahil mampu mendapat pulangan positif.

"Apa yang saya nampak sebelum menjaringkan gol adalah ruang yang kecil diberikan benteng lawan walaupun dua pemain cuba beri tekanan tetapi saya bertindak pantas dengan melencongkan bola tepat ke penjuru kiri gol lawan.

"Saya sedar jika melengah-lengahkan untuk merembat bola mungkin peluang menjaringkan gol tertutup dan sebab itu dengan pantas menyepak bola dan tepat menerjah jaring dan ia merupakan kepuasan bagi saya menjaringkan gol," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 1:18 PM