SARRI (kanan) bersama Eden Hazard di Stamford Bridge, awal pagi tadi. — FOTO Reuters
SARRI (kanan) bersama Eden Hazard di Stamford Bridge, awal pagi tadi. — FOTO Reuters
AFP

MAURIZIO Sarri mengakui Chelsea bertuah layak ke final Liga Europa ketika ketangkasan Kepa Arrizabalaga membantu mereka menang 4-3 menerusi penentuan penalti dramatik ke atas Eintracht Frankfurt, awal pagi tadi.

Pasukan Sarri akan bertemu musuh London, Arsenal pada final sesama pasukan Liga Perdana Inggeris di Baku pada 29 Mei ini ketika buat kali pertama semua empat finalis Liga Juara-Juara dan Liga Europa adalah dari England.

Sarri yang jelas lega mengakui Chelsea berdepan kesukaran mengawal perlawanan itu dan memerlukan sedikit tuah untuk mengelak kejutan tersingkir.

“Kami bermain babak pertama yang amat bagus. Kemudian pada awal babak kedua, kami berdepan masalah. Kami agak pasif ketika bertahan, jadi kami melepaskan gol itu, 10 minit yang panik,” katanya.

PEMAIN tengah Chelsea, Ruben Loftus-Cheek menjaringkan gol pembukaan. — FOTO Reuters
PEMAIN tengah Chelsea, Ruben Loftus-Cheek menjaringkan gol pembukaan. — FOTO Reuters

“Pada masa tambahan pemain saya terlalu letih. Selepas 60 perlawanan untuk bermain 120 minit terlalu sukar.

“Tiada persiapan langsung untuk sepakan penalti kerana mereka boleh menyepak dengan baik di padang latihan tapi tekanannya amat berbeza.

“Kami perlu mengembalikan tenaga kerana kami terlalu letih.”

Bagaimanapun, Sarri tidak gembira kerana Chelsea akan bermain satu perlawanan persahabatan di Amerika Syarikat menentang New England Revolution minggu depan.

“Kini kami perlu berehat. Malangnya kami perlu ke AS kerana saya fikir ketika ini kami amat memerlukan rehat kemudian kami ada 10 hari untuk bersedia menghadapi final,” ujar Sarri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 9:45 AM