NORRIS sambung kontrak dengan McLaren. FOTO AFP
NORRIS sambung kontrak dengan McLaren. FOTO AFP
Reuters

London: Lando Norris menandatangani lanjutan kontrak dengan McLaren untuk memacu cita-cita kejuaraan Formula Satu (F1) mereka dan membawa pemandu Britain berusia 24 tahun itu ke era enjin baharu sukan itu pada 2026 serta seterusnya.

Perjanjian yang diumumkan juga memadamkan spekulasi Norris yang mungkin bertukar kepada Red Bull sebagai rakan sepasukan juara tiga kali, Max Verstappen.

Seperti Ferrari semalam, yang membuat pengumuman lanjutan Charles Leclerc, McLaren tidak mendedahkan syarat perjanjian tetapi berkata gandingan Norris, Oscar Piastri berusia 22 tahun sah beraksi sehingga sekurang-kurangnya akhir 2026.

Kontrak empat tahun Norris sebelum ini, dipersetujui pada Februari 2022, berakhir pada penghujung 2025 dan bos McLaren, Zak Brown berkata kontrak baharu itu melangkaui tempoh berkenaan.

Ditanya mengapa kontrak disambung sebelum musim bermula, Norris memberitahu pemberita: "Kerana boleh. Saya berada dalam kedudukan yang baik, ia bukan sesuatu yang saya mahu risaukan dalam tempoh dua tahun akan datang.

"Ia adalah masa yang sangat baik, terutamanya apabila tiba-tiba baki beberapa tahun kontrak di mana keadaan mula menjadi lebih gila dengan orang lain berpotensi menyambar pelumba," katanya.

Norris membuat penampilan sulung bersama McLaren pada 2019 dan berkata, membuat keputusan untuk kekal adalah mudah walaupun belum memenangi grand prix tetapi pasti masanya akan tiba selepas hanya dipisahkan dengan enam saat dan menduduki tempat ketiga tahun lalu.

"Ia adalah pasukan yang saya mahu teruskan pengembaraan saya dari segi mencapai matlamat memenangi perlumbaan dan memenangi kejuaraan," kata Norris.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2024 @ 10:45 PM