TABUNG CAS KFA dilancarkan bagi membawa kes Akhyar Rashid ke Lausanne, Switzerland. FOTO Hijaukuning.Com
TABUNG CAS KFA dilancarkan bagi membawa kes Akhyar Rashid ke Lausanne, Switzerland. FOTO Hijaukuning.Com
Izzali Ismail


ALOR SETAR: Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) melancarkan Tabung CAS KFA dalam usaha menampung kos tinggi membawa kes perpindahan pemain tengah Akhyar Rashid ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) di Lausanne, Switzerland.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan KFA hari ini selepas Setiausaha Kehormat, Mohd Asmirul Anuar Aris menyatakan tabung itu diwujudkan bagi mengumpul sumbangan orang ramai susulan rayuan mereka mengenai isu Akhyar ditolak oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Tabung itu diwujudkan bagi membantu meringankan bebanan kos dan pada masa sama menyokong tindakan pengurusan KFA yang mahu membawa kes Akhyar ke CAS.

“Derma dan sumbangan secara sukarela boleh disalurkan kepada Persatuan Bolasepak Kedah Darul Aman menggunakan cek.

“Bagi mereka yang mahu menyalurkan sumbangan melalui dalam talian, mereka boleh melakukan transaksi ke akaun CIMB Bank milik Persatuan Bolasepak Kedah Darul Aman 8601650568.

“Sebarang pertanyaan lanjut serta urusan surat-menyurat boleh e-mel ke [email protected],” menurut kenyataan itu.

Asmirul sebelum ini menegaskan mereka sedia melancarkan tabung khas bagi mengumpul sumbangan orang ramai khususnya penyokong skuad Helang Merah yang jelas mahukan kes perpindahan Akhyar menerusi ‘pintu belakang’ ke Johor Darul Ta’zim dibawa ke CAS.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 January 2019 @ 7:00 PM