CEFERIN berharap dapat membawa perubahan. FOTO AFP
CEFERIN berharap dapat membawa perubahan. FOTO AFP

AFP

ROME: Presiden UEFA, Aleksander Ceferin diberi mandat baharu selama empat tahun hari ini dan menjanjikan masa depan yang lebih cerah meskipun ‘cabaran kompleks’ menanti badan induk bola sepak Eropah itu.

Peguam Slovenia berusia 51 tahun adalah satu-satunya calon bertanding untuk pemilihan di Kongres UEFA dan mendapat undian sebulat suara.

Situasinya jauh berbeza ketika beliau mengambil alih jawatan itu dua setengah tahun lalu, dengan skandal rasuah yang membelenggu bekas presiden Michel Platini.

Ceferin memberitahu 55 perwakilan UEFA yang memilihnya tanpa bantahan bahawa dengan keyakinan yang pulih, beliau kini memimpin badan induk itu ‘dengan kurang rasa bimbang dan ragu-ragu berbanding sebelumnya.’

“Jadi, apa akan berlaku sekarang? Itu soalan yang ditanya ramai orang ketika saya dilantik dua setengah lalu,” kata Ceferin.

“Pada ketika itu, bola sepak baik diperingkat dunia mahu pun Eropah digegarkan dengan krisis paling serius dalam sejarah dan anda masih memberi kepercayaan terhadap UEFA untuk menghadapi perkara yang tidak diketahui.”

Kini Ceferin berharap dapat membawa perubahan terhadap badan induk itu.

“Kami perlu memikir jauh ke hadapan dan menjalani beberapa perubahan besar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 11:42 PM