STADIUM Wembley akan gantikan venue di Brussels. -Foto EPA
STADIUM Wembley akan gantikan venue di Brussels. -Foto EPA
AFP

NYON, Switzerland: Stadium Wembley di London akan menjadi gelanggang empat perlawanan Euro 2020 yang pada awalnya dijadual berlangsung di Brussels, menurut Presiden Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA), Aleksander Ceferin.

Brussels adalah salah satu daripada 13 gelanggang yang dipilih bagi menjadi tuan rumah kempen Euro 2020 yang disifatkan unik bagi meraikan sambutan ulang tahun ke-60 kejohanan itu apabila diadakan di seluruh benua berbanding hanya satu negara.

Bagaimanapun, jawatankuasa eksekutif badan induk bola sepak Eropah itu membuat keputusan sebulat suara bagi menggugurkan Brussels daripada menjadi tuan rumah empat perlawanan Euro 2020.

Ia selepas tiada jaminan stadium baharu dibina penganjur di Belgium dapat disiapkan mengikut masa yang ditetapkan.

Stadium Wembley kini akan menjadi tuan rumah bagi tujuh perlawanan secara keseluruhan selepas diberi tanggungjawab untuk mengadakan dua perlawanan separuh akhir dan final pada 12 Julai 2020.

UEFA turut mengumumkan acara pembukaan berlangsung di Stadium Olimpico di Rom pada 12 Jun 2020.

“Disebabkan kegagalan projek Eurostadium untuk memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Eksekutif UEFA ketika pertemuan pada 20 September 2017, empat perlawanan (tiga kumpulan, satu pusingan 16) yang pada awalnya dijadualkan diadakan di Brussels kini akan dipindahkan ke Stadium Wembley di London selepas pengundian oleh jawatankuasa,” kata Ceferin.

“Kami sudah berbincang dengan Brussels sejak sekian lama, mereka tidak dapat memberikan kami dokumentasi.

“Hingga hari ini kami tidak tahu sama ada mereka boleh membina stadium atau tidak. Mereka masih tidak mempunyai dokumen. Mereka mempunyai masa hingga jawatankuasa eksekutif (mesyuarat) hari ini dan mereka tidak melakukannya.

“Kami menerima surat semalam bahawa pada 31 Januari akan ada keputusan akhir tetapi keputusan - ya atau tidak - mereka tidak tahu.

“Pakar dari pentadbiran berpendapat ia satu risiko tinggi buat UEFA jika kami terus menunggu.”

Sementara itu, Persekutuan Bolasepak Belgium dalam satu kenyataan berkata: “Kami sudah mencuba yang terbaik untuk mendapatkan penangguhan daripada UEFA tapi kami menghormati keputusan mereka.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2017 @ 10:16 AM