YOSHIDA (tengah) meraikan kejayaan bersama rakan sepasukan. FOTO/AFP
YOSHIDA (tengah) meraikan kejayaan bersama rakan sepasukan. FOTO/AFP
Reuters

ABU DHABI: Maya Yoshida percaya jika berjaya memenangi Piala Asia buat kali kelima ia mampu melonjakkan lagi bola sepak Jepun serta pemain muda yang baharu bertapak di pentas bola sepak antarabangsa.

Pertahanan Southampton itu adalah pemain tonggak Jepun yang dibarisi kebanyakan pemain muda di bawah bimbingan Hajime Moriyasu selepas tersingkir pada pusingan 16 terakhir Piala Dunia tahun lalu.

Kejayaan kempen di Russia serta kemenangan ke atas Qatar pada final esok akan memberikan motivasi terbesar buat Blue Samurai, kata kapten berusia 30 tahun itu.

“Jika kami boleh meraih kejayaan di sini, ia dapat menarik lebih banyak perhatian dan memberi impak kepada budaya sukan di Jepun,” katanya.

“Sememangnya saya inginkan gelaran kelima ini kerana kami pasukan yang baik di bawah bimbingan jurulatih hebat dan saya ingin menghabiskan lebih banyak masa bersama rakan sepasukan.

“Dengan pasukan ini sedang melalui perubahan ke generasi baharu, kejuaraan ini akan mengorak langkah yang besar buat bola sepak Jepun.”

Sementara itu, Moriyasu mengakui ancaman yang mampu diberikan Qatar namun menegaskan mereka akan beraksi seperti biasa selepas memperaga aksi memukau membenam Iran 3-0 pada separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 12:09 AM